Cuaca panas, perlu langkah berjaga-jaga

- Advertisement -

LANGKAH berjaga-jaga dan pemantauan berterusan dalam menghadapi musim kemarau dan cuaca kering di Malaysia perlu dilaksanakan secara konsisten dan holistik walaupun Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara Malaysia tidak mengalami cuaca panas yang ekstrem sehingga mencapai suhu 39 atau 40 darjah Celsius pada tahun ini seperti negara-negara lain.

- Advertisement -

Mengikut laporan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), musim kemarau dan cuaca kering akan berterusan sehingga bulan Mac ini di Malaysia. Selain itu, kegiatan aktiviti manusia seperti pembakaran terbuka, penebangan hutan, dan penggunaan bahan bakar juga penyumbang perubahan cuaca yang berlaku selain faktor perubahan semula jadi seperti El Nino.

Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini kes kebakaran terbuka yang melibatkan kawasan hutan, ladang dan tempat pelupusan sampah yang berisiko berlaku sering dilaporkan terutama kawasan yang kurang menerima taburan hujan di seluruh negara kecuali di Barat Sabah dan Sarawak.

Saya menyambut baik usaha Jabatan Bomba Malaysia yang sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran hutan yang berlaku sepanjang musim kemarau ini. Selain itu, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) yang telah diaktifkan oleh Kerajaan pada 7 Januari lalu dapat dilaksanakan secara efektif dan berkesan dalam membanteras pembakaran terbuka yang berlaku di negara ini.

Akhir sekali, saya turut menasihatkan masyarakat awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang memberi impak besar seperti jerebu selain mengehadkan sebarang kegiatan aktiviti luar bagi mengelakkan dehidrasi.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 25/1/2020

- Advertisement -