Bumi Pattani mengakarnya sejarah Melayu

- Advertisement -

PATTANI dalam susur sejarahnya  adalah sebuah negara Islam berdaulat yang mendapat jolokan Serambi Makkah, dengan jaringan ratusan pondok-pondok pengajian Islam, ribuan para ulamak dan asatizah. Tanah Yala, Narathiwat, Setul, Pattani  ini menjadi tempat pemukiman ilmu kepada santri daripada pelbagai penjuru Nusantara seperti Kemboja Champa, Brunei, Pulau Jawa, Sumatera, Tanah Melayu, Mindanao dan lain-lain.

Ulamak Pattani bukan sahaja hebat menggerakkan pengajian Islam di tanah leluhur mereka sendiri namun sebahagian yang lain membuka perkampungan ilmu di Makkah yang dikenali Bukit Ajjiyad, mengajar di Masjidil Haram serta menggerakkan Makkah sebagai pusat operasi gerakan jihad di Nusantara. Ulamak Pattani mengarang kitab yang bertebaran ke Alam Melayu, antaranya Sheikh Daud Pattani, Sheikh Ahmad Ismail al Pattani dan lain-lain sang pencerah.

Di zaman moden bumi ummat Islam ini menjadi sebahagian daripada negara Thailand, namun keberadaan pondok pengajian Islam masih dikekalkan dan menjadi pilihan untuk santri belajar agama yang datang daripada Malaysia, Indonesia, Cambodia dan lain-lain. Muslim Care Malaysia dan LESTARI telah mengambil peluang untuk menelusuri tempat bersejarah dan mempunyai simbol budaya Melayu Islam.

Antara tempat yang dilawati adalah masjid Kerisek yang berusia lebih 300 tahun dan masih digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan sehingga kini. Rombongan jaulah budaya dan kebajikan ini juga telah melawat telaga Sheikh Daud Pattani dan persekitarannya yang pernah menjadi tempat almarhum murabbi ummah ini mengarang kitab dan menebarkan ilmu kepada masyarakat. Uniknya telaga yang berusia ratusan tahun ini tidak pernah kering airnya walaupun di musim kemarau panjang. Kelihatan pelawat mengambil peluang untuk mandi dan mengambil air telaga di samping mendengar pengkisahan daripada seorang lelaki berusia emas berkenaan perjuangan dan dakwah almarhum.

Jaulah budaya ini menjadi sangat bermakna apabila menjadi tetamu ulamak tersohor Nusantara, Sheikh Ismail Sepanjang atau dikenali sebagai Baba Eil Sepanjang. Pondok tradisional beliau adalah antara pondok pengajian Islam yang popular di wilayah Selatan Thailand. Kami menerima pesan-pesan berharga daripada Baba Eil, antaranya menyuruh menjaga ukhuwah sesama Islam, menyambung silaturrahim kekeluargaan dan terus berdakwah tanpa jemu.

- Advertisement -

Hari kedua jaulah budaya dan kebajikan, kami manfaatkan untuk menyantuni Pondok Katong, Yala. Madrasah yang digerakkan oleh Baba Abdul Basith ini juga menampung pelbagai usia santri, daripada pra sekolah sehinggalah pondok warga emas. Relawan Muslim Care dan LESTARI mengagih sumbangan pakaian ibadah, naskah al-Quran, sejadah dan makanan.

Doktor dan paramedik Muslim Care Malaysia mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung sekitar dan para pelajar banin dan banat. Menurut Encik Safuan Ujar, misi membantu tidak bernoktah, relawan masih mengumpulkan sebanyak 2700 naskah al-Quran untuk diagihkan kepada banduan-banduan penjara Yala yang beragama Islam. Usaha ini diterajui oleh Tuan Guru Abdul Basith sendiri, berdakwah dan menyantuni narapidana, semoga cahaya hidayah menerangi mereka.

(Penulis ialah Exco Muslim Care Malaysia)

Sumbangan Wakaf al-Quran boleh disalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia:

Maybank: 564490413882
Bank Islam: 14014010147470
Bank Muamalat: 14010007654717

SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada:
Hotline MCM +60 11 5005 0035
En Safwan +013 488 6447
Cik Zuriati +60 19-204 9434
Cik Suryana +60 11-2194 1194

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR
HARAKAHDAILY 24/1/2020

- Advertisement -