Ulamak Pahang rakam tahniah kejayaan pelajar STAM

- Advertisement -

PEKAN: Dewan Ulamak PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada Sekolah-sekolah Menengah Agama (SMAN) di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang di atas kejayaan dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

- Advertisement -

Daripada keputusan peperiksaan STAM 2019 yang baharu diumumkan, seramai 74 pelajarnya mengungguli pangkat Mumtaz dengan 15 daripadanya mendapat Mumtaz Safi iaitu pangkat Mumtaz bagi semua 10 kertas yang diambil.

Ketua Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud berkata, kejayaan para pelajar agama mengungguli keputusan peperiksaan peringkat nasional ini membuktikan kewajaran pendidikan Islam di sekolah-sekolah agama seluruh negeri ini.

“Dakwaan yang mengatakan orientasi pendidikan berasaskan agama menyebabkan pelajar mundur dalam pelajaran adalah tersasar sama sekali,” bidas beliau yang ternyata bangga dengan perkembangan tersebut.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, 43 pelajar Kuliyah Lughah Wad Din Sultan Abu Bakar, Pekan mendapat pangkat Mumtaz, 10 orang dari Sekolah Menengah Agama Al Khairiah, Temerloh dan 21 orang dari Maahad Sultan Ahmad Shah (SAS), Bandar Jengka. 

Dari jumlah berkenaan, 15 mendapat Mumtaz Safi iaitu 10 dari Kuliyah Sultan Abu Bakar dan 5 orang dari Maahad Sultan Ahmad Shah, selain menyaksikan 21 pelajar mendapat pangkat Jayyid Jiddan dan 307 orang mendapat Jayyid.

Seramai 127 pelajar yang mendapat Jayyid Jiddan tersebut adalah dari Kuliyah Sultan Abu Bakar, manakala 16 dari mereka adalah penuntut SMA Al Khairiah, selain 59 dari Maahad SAS dan 9 orang dari SMA Padang Tengku.

Pelajar yang mendapat Jayyid pula ialah seramai 208 orang dari Kuliah Sultan Abu Bakar dan 20 pelajar dari SMA Al Khairiah, selain 52 pelajar dari Maahad SAS dan 27 orang dari SMA Padang Tengku.

Pada tahun 2019, peperiksaan STAM dijalankan di empat buah sekolah yang dinyatakan di atas danagi tahun ini sebuah lagi pusat peperiksaan dibuka iaitu di Sekolah Menengah Agama Al Wusto Berhala Gantang.

Bagi Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, walaupun tidak ada pelajar memperoleh pangkat Mmtaz, namun sekolah berkenaan telah menunjukkan peningkatan luar biasa 28.61 peratus kelulusan dari 45.94 peratus pada tahun 2018 kepada 75.55 peratus tahun 2019.  

Dewan Ulamak PAS Pahang mencadangkan agar Kerajaan Pahang memberikan tumpuan yang lebih dalam memajukan pendidikan Islam khususnya di sekolah-sekolah menengah agama di bawah kelolaah JAIP (SMAN).

“Kita mencadangkan supaya Pahang meningkatkan infrastruktur, menambah bilangan kelas dan guru berkelayakan kepada semua 18 buah SMAN. Dewan Ulamak juga berpandangan peperiksaan STAM perlu diluaskan ke sekolah-sekolah menengah agama lain dan tidak terhad kepada 5 buah sekolah itu sahaja.

“Bahkan pihak Jabatan Pendidikan juga perlu memberi peluang kepada sekolah-sekolah rakyat dan persendirian untuk menjadi pusat peperiksaan memandangkan STAM kini diterima di semua universiti dalam negara dan banyak  universiti luar negara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/1/2020

- Advertisement -