Pesan memesan demi kebaikan

- Advertisement -

KERJASAMA PAS dan Umno bukan mudah mahu dibina. Ia memerlukan kesabaran, tolak-ansur, kasih sayang dan faham-memahami.

Apa yang mahu dibentuk dan dijalin adalah ikatan ukhuwah yang kental dan kukuh yang mampu menggegar dan merebahkan musuh.

Untuk mencapai kekuatan ini, pimpinan dan ahli-ahli PAS dan Umno perlu memiliki jiwa yang besar. Kita menjalin persahabatan kerana Allah dan Rasul demi membela dan mempertahankan nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta.

Jangan sekali-kali kita dilihat berbalah, memperlekeh sesama sendiri apalagi jatuh-menjatuh sesama kita kerana perangai dan akhlak seumpama ini tiada dalam jalinan ukhuwah Islam sebenar.

Imam Ghazali dalam kitabnya Bidayatul Hidayah menggariskan 23 adab bersahabat menurut Islam. Biarlah perkara baik ini menjadi panduan dan rujukan kita sentiasa sama ada PAS mahupun Umno.

Antaranya:
–     Meninggalkan berbantah-bantah dengan sahabatnya
–     Memanggil sahabatnya dengan nama yang ia sukai, bukan gelaran yang buruk
–     Apabila melihat sahabatnya berbuat kebajikan hendaklah ia bersyukur dengan perbuatannya
–     Menegahkan seseorang daripada mencela sahabatnya sepertimana ia menegahkan seseorang mencela dirinya
–     Memberi nasihat kepada sahabatnya dengan perkataan yang lemah lembut bukan dengan sindiran yang pedas dan tajam menikam hati.

Asas pada persahabatan yang baik adalah kesabaran.

Sejak wujudnya Muafakat Nasional memang kita lihat hubungan antara pimpinan PAS dan Umno cukup mesra dan akrab. Datuk Seri Zahid cukup menghormati Tuan Guru Abdul Hadi dan begitu juga sebaliknya. Sejuk hati ahli-ahli dan rakyat jelata melihatnya.

Malah demikian juga sesama Timbalan dan Naib-naib Presiden PAS dan Umno, pimpinan Pusat, Negeri-negeri yang turut dicontohi akar-umbi kita di Cawangan-cawangan.

Perjuangan besar ini perlu melalui jalan yang jauh dan cukup mencabar kerana itu kesabaran dan memelihara adab bersahabat sangat penting. Kita tatang hubungan ini bagai menatang minyak yang penuh, jangan sesekali biar ia berkocak apalagi tumpah ke bumi.

Semalam rentetan viralnya gambar pimpinan PAS bersama PM, ramai yang membuat pelbagai spekulasi, tetapi yang sayangkan Muafakat ini bangkit mempertahankan.

Begitulah sepatutnya. Penjelasan YAB MB Terengganu cukup jelas.

Malangnya ada pula diviral mesej dari seorang pimpinan Umno bertaraf ahli MT.

Demi kasih dan sayangkan Muafakat ini kita menegur agar jangan perangai seumpama ini terpancar keluar sehingga mencetus ketegangan sesama kita.

Nak tegur dan minta penjelasan boleh tapi ada forumnya. Jangan bertempik di forum terbuka sehingga membuka peluang buat musuh bermaharajalela dan menjejaskan hubungan sesama kita.

InsyaAllah pimpinan dan ahli-ahli PAS akan memelihara adab kerana kami dididik sebegitu. Hubungan ini akan kami pelihara dan pertahankan mohon Umno juga begitu.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 23/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -