PAS-Umno boleh hilang segalanya selepas PRU15

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: PAS dan Umno perlu memastikan supaya Islam berada sebagai asas paling kukuh dalam kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut, demikian pesan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

- Advertisement -

Sebaliknya, jika asas ini gagal diperkukuhkan menjadi kekuatan masa depan ummah, ianya merupakan kesilapan percaturan yang menyebabkan PAS dan Umno akan hilang segala-galanya selepas PRU15 akan datang.

Peringatan tersebut disuarakannya ketika merasmikan Himpunan Jentera Pilihan Raya dan Gabungan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan PAS Kawasan Sungai Buloh di Dewan Grand Airiz, Kubu Gajah, di sini baru-baru ini.

Beliau menyingkap sejarah kejayaan umat di negara membina Tamadun Melayu hanya setelah mereka menerima dan menemui makna diri dengan agama Islam, seterusnya muncul sebagai antara bangsa yang hebat.

Sebelum itu menurutnya, sejarah menunjukkan orang Melayu dalam rupa paras yang tidak terurus kebersihan diri dan perkembangan Tamadun Melayu setelah itu terbangun dari kehebatan ilmu yang berbeza dari tamadun lain.

Kerana itu katanya, Tamadun Melayu tidak meninggalkan binaan-binaan bangunan, sebaliknya mewariskan banyak hasil ilmu terutama dalam menterjemahkan tulisan Arab dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Kata Prof Syed (Muhammad) Naquib (al-Attas), peninggalan bangunan ini menunjukkan kemerosotan daya intelektual sesuatu tamadun. Tamadun yang runtuh nilai intelektual ini hanya meninggalkan bangunan-bangunan.

“Tetapi bangsa Melayu berada pada satu tahap yang tinggi, dia meninggalkan tamadun ilmu. Ini berbeza kita bangsa Melayu dengan bangsa lain,” ujarnya mengupas suntikan Islam dalam membina sejarah bangsa ini.

Ceritanya, Panglima Awang yang dikenali di Portugis sebagai Enrique of Malacca adalah contoh kehebatan orang Melayu di mana menjadi manusia pertama mengelilingi dunia dan bukannya Ferdinand Magellan.

Malah, kupasan beliau itu juga meneroka sejarah bangsa Arab yang asalnya hidup terhina walaupun Makkah menjadi kota kosmopolitan, tetapi muncul hebat menyaingi Rom dan Parsi setelah menerima Islam.

“Perkara asas yang mendorong kita (PAS dan Umno) bersama-sama ialah untuk kepentingan Islam. Bagi kita orang Islam, tidak ada perkara yang lebih mahal, lebih berharga untuk kita capai dan kita pertahankan kecuali Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/1/2020

- Advertisement -