PAS Bukit Mertajam iltizam perkuat Cawangan

BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam telah mengadakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Cawangan-cawangan bagi seluruh kawasan ini, baru-baru ini.

Advertisement

Majlis perasmian disempurnakan oleh ADUN Tanjong Dawai YB Ustaz Hanif Ghazali yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Merbok, Kedah bertempat di Akademi Al Quran As Syamil(AQSA), di sini.

Yang Dipertua PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak dalam ucapannya mengingatkan setiap ahli PAS supaya berusaha mengukuhkan PAS Cawangan masing-masing dengan mengadakan program.

Antaranya seru beliau, aktiviti yang membawa agenda berbentuk kemasyarakatan dan program tarbiyah dalaman seperti usrah, kuliah haraki dan lain-lain pendekatan dakwah kepada semua.

Norazman juga mengingatkan ahli PAS supaya sentiasa hadir ke masjid dan surau untuk solat berjemaah supaya orang PAS dilihat berada di dalam masyarakat.

Ustaz Hanif dalam ucapan perasmian beliau menegaskan PAS bukan sahaja sebuah parti, bahkan sebuah jemaah di mana parti boleh hilang dan diharamkan, tetapi jemaah akan kekal sekiranya dijaga dan dipelihara.

“Ambil contoh dan pengajaran daripada Ikhwanul Muslimin di Mesir, walaupun puluhan tahun diharamkan, jemaah mereka tetap wujud bahkan kuat,” ujar beliau.

Tegas beliau lagi, ahli PAS jangan culas menghadiri usrah kerana di situlah kesatuan ukhuwah sesama ahli dan juga kemantapan fikrah yang jitu dibentuk melaluinya.

Majlis turut di serikan dengan kehadiran ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 23/1/2020