Muafakat Nasional akan memerintah lebih baik

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Pemerintahan Islam telah terbukti tidak pernah menganiaya mana-mana pihak dan perkara itu perlu dilihat sebagai jaminan kepada sesiapa sahaja apabila Islam menjadi asas menerajui pentadbiran negara suatu masa kelak

- Advertisement -

Penegasan itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah pada Perasmian Himpunan Jentera Pilihan Raya dan Gabungan Mesyuarat Agung Cawangan-cawangan PAS Kawasan Sungai Buloh di Dewan Grand Airiz, Kubu Gajah, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Umno walaupun sepanjang 70 tahun memerintah tidak menjadikan Islam sebagai dasar negara, tetapi terdapat juga perkara-perkara dilaksanakannya yang sesuai dengan prinsip Islam di mana PAS menyokong usaha berkaitan itu.

Sikap tersebut juga ujarnya, menunjukkan PAS tidak menentang secara semberono, bahkan teguran yang disuarakan terhadap perkara-perkara tidak selari dengan Islam adalah dengan harapan agar rakan di dalam Umno membetulkannya.

“Kita harap Islam inilah menjadi ‘gam gajah’ yang akan mengikat kuat kita berdua sampai bila-bila dalam politik Malaysia ini. Kita sama-sama senang susah, menang kalah, sakit senang. Kita sama-sama memperjuangkan Islam di bumi Malaysia ini.

“Ikatan agama ini juga bukan untuk kita bermusuh dengan orang bukan-Islam,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bercerita betapa Kerajaan Kelantan di bawah PAS telah bertindak adil kepada semua kaum di negeri itu.

Katanya, selain tidak berlaku sebarang kezaliman, pihak Kerajaan Kelantan juga memberi biasiswa kepada anak-anak negeri itu yang melanjutkan pelajaran ke universiti termasuk dari kaum bukan-Melayu demi masa depan.

Oleh itu, beliau turut mengemukakan jaminan bahawa apabila Muafakat Nasional menjadi kerajaan kelak, ia akan memerintah lebih baik daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini dengan menggabungkan segala kelebihan yang ada.

“Umno ada pengalaman memerintah, dia ada kepakaran dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan. Kita PAS pula ada kekuatan dari segi agama dan ada profesional-profesional yang komited dengan agama. Jadi kalau dua-dua ini digabungkan, tidak ada kekuatan yang boleh menghalang.

“Jadi bila kita ‘blend’ (gabung) dua ni, memang kita yakin, kita akan jadi kerajaan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Ini cita-cita dan harapan, maka supaya jadi kenyataan, semua kita mesti duduk di jalan yang betul (iaitu) untuk Islam, jangan fikir yang lain,” peringatnya.

Beliau juga menyeru supaya memperkukuhkan organisasi serta sumber dan faktor manusia yang terus teguh menggerakkan agenda perjuangan. – HARAKAHDAILY 23/1/2020

- Advertisement -