Ilmu Allah itu luas

- Advertisement -

SEBAGAI doktor Muslim, kita pun percayai bahawa al-Quran itu kalam Allah yang membawa sejuta kemukjizatan dan boleh menyembuhkan penyakit melalui Kudrat dan IradatNya. Namun kefahaman dan pegangan doktor Muslim bukan semata-mata ruang kepercayaan kepada syariat yang dinyatakan dalam al-Quran dan Hadis, tetapi juga bersandarkan kepada hukum alat atau akal dan hukum adat. Ianya juga salah satu dari kaedah berikhtiar yang dianjurkan dalam Islam.

Apabila para doktor Muslim cuba mengemukakan hujah, akan berlaku pertembungan dalam isu perubatan moden vs Islam atau tradisional. Seperti biasa jawapan pesakit begini diberikan:

- Advertisement -



“Ilmu Allah itu luas, terimalah pandangan orang lain.”



Dengan kata lain bahawa ilmu yang doktor ada itu tidak mencapai tahap makrifat yang membolehkan setara dengan kaedah perubatan dalam Islam.

Sedangkan apa yang cuba kami bentangkan dari perubatan moden ini adalah dari ilmu Allah juga. Atas keluasan Rahmat dan Ilmu-Nya lah kami belajar dan menjalankan khidmat rawatan kepada pesakit. Dengan kelebihan ilmu Allah yang luas inilah juga banyak kajian dijalankan ke atas ubat-ubatan termasuk tumbuh-tumbuhan. Contohnya, dari pelbagai sudut dan review kajian-kajian perubatan, ganja tiada kelebihan positif, ianya hanya sebagai penahan muntah untuk pesakit terminal kanser. Rawatan-rawatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan pelbagai lagi itu semuanya tidak menunjukan keberkesanan. Jumlah pesakit yang perlu dirawat (NNT – Number Need to Treat) adalah rendah berbanding dengan rawatan utama kanser di hospital-hospital moden. Sehingga sekarang tiada pun diberikan kajian yang boleh meyakinkan bahawa ganja mempunyai kelebihan berbanding dengan ubatan lain. Begitu juga dengan ubat-ubatan lain yang disandarkan kepada pemakanan sunnah ataupun bahan yang disebut dalam al-Quran.

Atas dasar ilmu Allah jugalah ilmu sains dalam perubatan ini berkembang. Sains adalah penjelasan kepada hukum alam atau tabi’i, hukum akal dan hukum adat yang ditentukan Allah. Setelah dilakukan kajian, sains telah membenarkan hukum Allah itu. Minum boleh menghilangkan dahaga, itu hukum adat. Tetapi tidak semua jenis air boleh menghilangkan dahaga. Ianya dibuktikan dengan sains. Begitulah luasnya ilmu Allah ini dalam dunia perubatan. Pening kepala, setelah sains moden menemui panadol adalah ubatnya, itulah hukum adat. Walaupun tidak semua panadol boleh menghilangkan pening, tidak dinafikan. Maka perlu sains perubatan untuk terus mengkaji kenapa pening boleh berlaku dan apa puncanya. Jika pening itu akibat kanser otak, melalui luasnya ilmu Allah para pakar mengesyorkan pembedahan. Walau tidak dinafikan pembedahan itu pun bukan 100 peratus boleh menghilangkan pening, malah akan timbul komplikasi lain. Tetapi itulah ikhtiar yang diusahakan oleh para anggota yang pakar atau ahli dalam bidangnya.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 23/1/2020

- Advertisement -