Spekulasi dari sekeping gambar

- Advertisement -

BERBAGAI reaksi dan spekulasi bermain hasil dari sekeping gambar yang diviral.

Ramai kawan-kawan PAS dan bukan PAS bertanya. Ramai yang minta pengesahan.

Sebagai seorang ahli PAS yang istiqamah dan dididik agar walak serta thiqah pada pimpinan saya terlalu yakin dan percaya pimpinan kita ke mana sahaja mereka berada akan membawa dan memperjuangkan agenda memartabatkan Islam dan kepentingan umat Melayu.

Setahu saya tidak ada detik yang berlalu tanpa pimpinan tertinggi PAS memikirkan nasib dan masa depan ummah.

Dalam suasana politik yang cukup mencabar hari ini, kepentingan Islam jangan sampai hanyut dan lumpuh.

Bagaimana dengan Muafakat Nasional (MN)? MN dibina atas kudrat dan tangan pimpinan PAS dan Umno serta ahli-ahli. Ialah politik baru yang mahu kita jaja dan fahamkan pada semua demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Tidak terjejas sedikitpun keyakinan PAS dan kita semua terhadap agenda MN walau terbit gambar ini.

Di hadapan kita adalah dua mudharat dan kepada siapa yang mahu kita serahkan untuk buat penilaian dan pilihan demi jemaah dan ummah jika tidak pada pimpinan yang kita yakini.

Kepada sahabat-sahabat dan rakan-rakan semua, ingatlah semasa mahu menempuh Perang Badar, Saad bin Abi Waqas telah bangun berdiri di hadapan Rasulullah S.A.W dan menyatakan:

- Advertisement -



فَامْضِ يَا رَسُولَ اللّهِ لِمَا أَرَدْت فَنَحْنُ مَعَك ، فَوَاَلّذِي بَعَثَك بِالْحَقّ لَوْ اسْتَعْرَضْت بِنَا هَذَا الْبَحْرَ فَخُضْته لَخُضْنَاهُ مَعَك ، مَا تَخَلّفَ مِنّا رَجُلٌ وَاحِدٌ وَمَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِنَا عَدُوّنَا غَدًا ، إنّا لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللّقَاءِ . لَعَلّ اللّهَ يُرِيك مِنّا مَا تَقُرّ بِهِ عَيْنُك ، فَسِرْ بِنَا عَلَى بَرَكَةِ اللّهِ

“Maralah Wahai Rasulullah dengan apa yang kamu kehendaki. Kami tetap bersamamu. Demi yang telah mengutuskanmu dengan hak, seandainya laut di hadapan kita dan kau mengharunginya, nescaya kami akan turut mengharunginya. Tiada seorang pun kalangan kami yang akan berundur. Kami tidak kisah untuk bertemu musuh nanti. Sesungguhnya sabar dalam peperangan adalah kebenaran dalam pertembungan. Mudah-mudahan Allah menenangkan kamu dengan adanya kami. Maka maralah bersama kami dalam keberkatan Allah.”



Prinsip Amal Jamaie telah menegaskan bahawa pemimpin yang telah dilantik, biarpun ia hanya seorang hamba adalah wajib ditaati, dipercayai (diberi thiqah), dan walak kepadanya.

Sebagai manusia biasa, semua mempunyai kelemahan. Kesempurnaan hanyalah milik Allah S.W.T. Justeru itu, pemimpin juga ada kelemahan dan kekurangan sendiri. Tetapi kita yang memilih mereka berdasarkan keseluruhan kelebihan yang ada pada mereka. Kekurangan mereka hendaklah ditampung dengan bantuan kita orang-orang bawahan supaya jemaah itu menjadi kuat.

Bertenanglah menghadapi suasana yang cukup berkecamuk hari ini.

Perteguhkan jemaah dan bulat kita berdiri bersama pimpinan kita.

Saya masih ingat Tuan Guru Presiden PAS pernah menyatakan dalam ucapannya semasa Muktamar di Johor satu ketika dahulu:



“Saya tidak akan bawa ahli-ahli PAS masuk ke api neraka ….”



Dan atas itu marilah kita semua berlapang dada dan serahkan segalanya pada kebijaksanaan pimpinan yang sentiasa berpandukan wahyu.

Seeru Ala Barakatillah

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 22/1/2020

- Advertisement -