RM50k untuk Exco, ‘Habis kut tengah jalan jer’

- Advertisement -

HEBOH satu Malaya apabila ‘netizen’ menunjukkan kemarahan kepada Kerajaan Kelantan berkaitan wang RM50,000 yang diberikan secara ‘pemberian khas’ kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Saya menulis saat ini bukanlah untuk memberi jawapan kepada isu dan polemik yang sedang berlaku. Ianya sekadar coretan peribadi akan gerak kerja wakil-wakil rakyat di Kelantan khasnya ahli Exco Kerajaan yang mana wang dan hartanya akan dihabiskan untuk rakyat semata-mata.

- Advertisement -



Contoh mudah, YB Ustaz Haji Wan Roslan Wan Hamat, Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan yang amat saya kasihi. Dia guru, dia pemimpin kami.

Disember bulan lepas (2019) banjir melanda Daerah Tumpat (DUN Pengkalan Kubor khasnya) sebanyak dua kali. Awal bulan dan sekali lagi bermula 20 Disember. Dua kali banjir!



Antara yang terjejas teruk adalah Kampung Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Teluk Jering, Simpangan dan beberapa yang lain melibatkan mangsa melebihi 3,000 ketua isi rumah. YB Ustaz Wan Roslan terpaksa berhutang di beberapa kedai runcit dan kedai borong untuk menyediakan 3,000 kit barangan keperluan dianggarkan bernilai RM50 setiap satunya. Nilainya amat besar. (3000 X RM50 = RM150,000.00)

Mujurlah pemberian khas RM50,000 oleh kerajaan diberi kepadanya. Sebahagian hutang kepada kedai runcit berjaya dilangsaikan. Alhamdulillah.

Selain itu, beberapa NGO telah turut sama turun membawa barang sumbangan antaranya Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan, Misi Kembara Dakwah, Al l’tisam Relief dan lain-lain. Ia telah meringankan bebanan Pusat Khidmat Dun yang terpaksa menguruskan bantuan banjir bagi dua kali gelombang.

Komitmen Ustaz Wan Roslan tidak terhenti di situ, Jumaat ini beliau anjurkan pula program NGO Bersama Komuniti di Pasar Rabu Kampung Bendang Pak Yong. Apa tujuannya? Ia untuk meraikan pasukan NGO yang tekun membantu mangsa banjir di kawasannya sewaktu bah melanda bulan lepas. Jamuan rakyat juga diadakan untuk mengeratkan hubungan antara orang kampung setelah penat lelah bergotong royong sepanjang Disember.

Minggu lepas, Ustaz Wan Roslan menyumbang RM5,000 wang peribadinya kepada keluarga yang mana rumahnya hangus terbakar dan langsung tiada tempat berteduh. YB dan rakyat berpisah tiada. Duka dikongsi bersama, kesusahan sama diringankan.

Ini hanya satu contoh sahaja bagi penggunaan wang yang tidak pernah cukup kepada rakyat di semua daerah. Perkara yang sama kita yakin berlaku kepada semua ahli majlis mesyuarat kerajaan yang lain dalam menyantuni rakyat.

Dari mana datangnya RM50,000 itu? Ia adalah ‘pemberian khas’ yang diputuskan secara sah dalam mesyuarat rasmi Kerajaan. Untuk apa wang itu? Ia khas untuk kegunaan kebajikan rakyat bagi akhir 2019 dan awal tahun 2020.

Tiada peruntukan tambahan. Wang ini masih dalam peruntukan Bajet 2019 (Bajet Luar Jangka) yang telah diluluskan dalam Pembentangan Bajet melalui Persidangan DUN akhir tahun 2018 lagi. Ia bukan benda baharu.

Tambahan pula pada akhir Oktober lepas, peruntukan untuk Exco telah pun habis dan permohonan baru juga telah ditutup (kerana akhir tahun). Jadi disalurkan pemberian khas tersebut bagi membantu rakyat kepada ahli Exco Kerajaan. Ia semudah itu sahaja.

Seperti kata rakan-rakan saya, duit lima puluh ribu itu tidak besar pun, ‘ia habis untuk rakyat kut tengah jalan jer’, kata mereka.

Coretan petang.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden PERTAHAN Kelantan – HARAKAHDAILY 22/1/2020

- Advertisement -