Pertemuan demi kepentingan rakyat dan negara

- Advertisement -

BESUT: Pertemuan Presiden PAS dengan Perdana Menteri yang dijadikan polemik hari ini oleh pihak tertentu sebenarnya dilakukan demi kepentingan semua terutama rakyat dan negara.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kunjungan pimpinan PAS itu bukan pertama kali, malah lanjutan dari pertemuan sebelumnya.

Menurutnya, pertemuan itu berkait dengan pendirian PAS dalam beberapa perkara bagi kepentingan agama, rakyat, negeri dan negara ini.

Justeru ujar beliau, tidak menjadi halangan bagi pimpinan parti dan Kerajaan Terengganu berurusan dengan mana-mana Menteri di peringkat Persekutuan.

- Advertisement -

“Apa yang ingin dicapai dalam pertemuan (dengan Tun Mahathir) itu adalah perkara-perkara yang berkait dengan kebajikan untuk (kepentingan) akhirat dan tidak menjadi apa-apa halangan untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak.  

“Kita (PAS) sentiasa menyatakan pendirian, kita bercakap di atas fakta dan benda (perkara) yang betul, yang benar. Mana yang salah itu salah, mana yang betul itu betul.

“Saya rasa tidak menjadi halangan kepada saya untuk berurusan dengan mana-mana Menteri di peringkat Persekutuan,” jelasnya kepada pemberita mengenai perkara tersebut.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Tempinis dan Penyerahan Jadual 5A Daerah Besut di Tapak Projek RMM Tempinis, Kampung Kerandang, Besut, semalam.

Beliau juga Menteri Besar Terengganu menerangkan, tiada orang tidak bersetuju jika Kerajaan Negeri membuat sesuatu yang baik serta bermanfaat kepada rakyat dan negara.

“Saya rasa tidak ada mana-mana orang yang tidak setuju dengan benda yang baik. Mana-mana yang positif, yang mendatangkan manfaat kepada negeri, juga kepada rakyat dan negara umumnya, dan kepada umat Islam lagilah.

“Maka, tentunya kita harus mencari jalan yang terbaik untuk semua pihak. Kita kena sedar bahawa negeri Terengganu ini salah satu dari unit dalam Kerajaan Persekutuan, Federalisma dalam Malaysia.

“Tidak terjadinya Malaysia itu tanpa Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis atau mana-mana negeri sekalipun. Jadi, saya rasa tidak timbul kita berseteru atau seumpamanya.

“Apa yang penting ialah bagaimana (mahu) mengukuhkan konsep Federalisma antara negeri dengan Persekutuan,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Kerajaan Negeri iaitu Dr Alias Razak dan Dr Azman Ibrahim serta Pengawai Kewangan Terengganu, Dato’ Zainal Abidin Hussin. – HARAKAHDAILY 22/1/2020

- Advertisement -