‘Mekanik’ Muslimat sedia khidmat selenggara kereta

- Advertisement -

BANGI: Briged Muslimat dan Ameerah Kawasan Bangi telah mengadakan Bengkel Asas Penyelenggaraan Kereta Wanita yang dilaksanakan di Suid Auto Service, Seksyen 7, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Program julung kali dianjurkan ini menarik lebih 30 peserta melibatkan kaum hawa bertujuan memberi pendedahan untuk bersedia menyahut cabaran dan menghadapi situasi kecemasan berkaitan keselamatan dan pengendalian kenderaan.

Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah berkata, inisiatif ini membantu golongan wanita daripada sifat panik apabila kenderaan dinaiki mengalami masalah yang selalunya berpunca daripada sikap kurang cakna.

Ini kerana menurutnya, telah menjadi kebiasaan hal berkaitan penyelenggaraan kenderaan diserahkan kepada kaum adam untuk menyelesaikan hal-hal terjadi, sedangkan banyak yang boleh ditangani sendiri.

Penerangan teori dan sesi demonstrasi serta tips penjagaan kenderaan melibatkan penyelenggaraan asas tayar, enjin dan brek telah disampaikan pemilik bengkel iaitu Suid Mustafa dibantu tiga staf beliau yang sangat berpengalaman.

Para peserta juga ditaja oleh pihak Suid Auto Service dengan hamper berupa minyak enjin sebagai hadiah cabutan bertuah sempena bengkel tersebut. – HARAKAHDAILY 22/1/2020

- Advertisement -