Konsesi rawatan air: K’jaan PH menghina SADA

- Advertisement -

SAYA merujuk jawapan YB Dato’ Hj Zamri Yusoff, Exco Bekalan Air Kedah dalam https://www.sinarharian.com.my/article/66825/EDISI/Utara/Kontrak-konsesi-air-Kedah-terbuka hari ini.

Melalui kenyataan terbaru Kerajaan Negeri, jelas sekali bahawa nafsu mereka untuk menswastakan proses rawatan air (membuka kontrak konsesi rawatan air) sedang membuak-membuak.

Tidak nampak sedikitpun keinginan Kerajaan Negeri melaksanakan sendiri proses rawatan air melalui SADA, sebuah agensi milik penuh kerajaan yang sedang memproses rawatan air di 26 loji rawatan air dengan kos yang lebih rendah daripada pihak swasta.

Tidak ada sebab sama sekali proses rawatan air di negeri ini diserahkan kepada mana-mana pihak selain SADA, selepas kerajaan melalui tempoh perit selama 30 tahun sejak 1990.

Berdasarkan AKTA 655, operator air negeri tidak boleh memberikan apa-apa kontrak kepada pihak ketiga tanpa kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) termasuk proses rawatan air, dan tempoh perjanjian yang dibenarkan itu tidak melebihi 2 tahun (+1).

Bukanlah menjadi prerogatif kerajaan terhadap tempoh 3 tahun yang dinyatakan oleh YB Exco, tetapi ia adalah kehendak undang-undang. Kebimbangan kami ialah kontrak itu akan diperbaharui oleh kerajaan setiap 3 tahun (2+1) dengan pihak yang sama, atau sekadar menukar nama syarikat setiap 3 tahun.

Ia boleh diulang-ulang selama yang kerajaan mahu. Ini satu kaedah yang akan dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk melepasi sekatan undang-undang.

Pokok pangkal kepada bantahan PAS Kedah terhadap konsesi air ini ialah proses rawatan air di semua loji dilaksanakan sendiri oleh SADA selepas Julai dan Oktober 2020 bagi menjamin kekukuhan kewangan SADA bagi menjana pendapatan untuk menambah aset serta kecekapan perkhidmatan dan membayar hutang bekalan air kepada Persekutuan.

SADA perlu melaksanakan sendiri proses ini untuk memastikan sektor yang boleh menjana untung dalam industri ini tidak diberikan kepada pihak luar, sedangkan beban lain dilambakkan kepada SADA terutama beban membayar hutang Kerajaan Negeri.

Apakah yang menggoda Kerajaan PH Kedah dalam isu konsesi ini sehingga mereka kelihatan bersungguh-sungguh mahu menawarkan kontrak itu kepada pihak selain SADA? Adakah ada udang di sebalik batu?

Adakah mereka digoda dedak wang Ringgit untuk biaya menghadapi PRU15 nanti? Saya mohon SPRM mula memasang mata dan telinga di Wisma Darul Aman untuk mengesan perkara seperti ini.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Ketua Pembangkang DUN Kedah
22 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 22/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -