Muhasabah: Krisis kepercayaan terhadap gerakan Islam

- Advertisement -

THIQAH dan kejujuran

(1)     Sebelum ini saya ada meletakkan satu poin penting dalam artikel yang bertajuk ‘Pengaruh: Bermain Isu Atau Dipermainkan’. Ia sebagai satu muhasabah penting.

Antara poin yang dinyatakan berkenaan sifat al Amin yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W sebelum menjadi Nabi lagi.

(2)     Kenapakah sifat ini mesti ada dan mesti sebati dalam jiwa seorang kepimpinan? Kerana ia adalah penyakit yang paling teruk melanda kepimpinan, apatah lagi ahli politik.

Kepimpinan atau ahli politik mestilah seorang yang boleh dipercayai. Sama ada dipercayai itu dengan maksud thiqah ataupun dengan maksud jujur (amanah).

(3)     Thiqah lebih menjurus kepada kepercayaan (keyakinan) terhadap kebolehan seseorang itu bekerja. Manakala kejujuran pula, ialah kepercayaan bahawa seseorang itu tidak akan mengkhianat atau membohong.

Kedua-dua ini melahirkan ‘kepercayaan’. Kenapakah kita wajar bincang hal ini pada hari ini? Kerana hari ini masyarakat semakin ‘menyampah’ dengan politik dan parti partinya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

- Advertisement -



يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ

“Orang yang beriman boleh jadi melakukan pelbagai kesalahan kecuali sifat khianat dan dusta.”

(Riwayat Imam Ahmad: 22170)



Ini sikap sebenar ahli politik Islam, bukannya menghalalkan penipuan atas nama helah atau strategi. Dua sifat inilah yang berkaitan  dengan ‘kepercayaan’.

Raikan kepercayaan orang

(1)     Gerakan dakwah Nabi Muhammad S.A.W terbina dengan ‘kepercayaan’ masyarakat terhadapnya. Ia merupakan satu sunnah yang mesti kita teladani.

Dalam masa yang sama, tindakan-tindakan sengal yang mengikis kepercayaan orang terhadap para daie, secara tak langsung jamaah pula yang akan dibahan.

(2)     Contohnya, apabila seorang ahli jemaah terlibat dengan scammer, sudah pasti jemaah akan dipersalahkan. Antara ayat yang biasa digunakan ‘orang PAS pun sama saja’.

Secara tak langsung ia menyukarkan lagi gerak kerja dakwah. Iaitu apabila pendakwah yang sepatutnya dijadikan contoh yang baik, berubah menjadi ejen untuk menipu.

(3)     Seorang ahli PAS yang makan duit orang, sudah pasti semua ahli PAS terpalit sama. PAS seolah-olah dilihat sebagai sebuah kumpulan yang dianggotai oleh ‘para Malaikat’

Seolah-olah ahli PAS itu semuanya tidak pernah melakukan dosa. Inilah persepsi masyarakat yang begitu memandang tinggi terhadap sesebuah jemaah, dan ianya perlu diraikan.

(4)     PAS tidak pernah ‘mengclaim‘ bahawa ahli-ahlinya suci daripada dosa. Akan tetapi ia adalah tanggapan orang luar yang selama ini meletakkan kepercayaan kepada PAS.

Jadi, sila hargai kepercayaan setinggi ini. Jangan disebabkan tindakan sengal seorang dua, habis semua ahli PAS terpalit sama terhadap kesalahan itu.

Tabiat buruk

(1)     Para politikus hari ini semakin tidak boleh diharap untuk membawa agenda rakyat. Mereka lebih cenderung merembat kepentingan peribadi.

Masyarakat menganggap semuanya sama sahaja. Sama ada PAS atau bukan. Sebelum pilihan raya bukan main meraih undi. Selepas beroleh kemenangan semuanya tak boleh diharap lagi.

(2)     Sebab itulah hari ini ahli-ahli politik dari kalangan gerakan Islam perlu muncul dengan watak seseorang yang boleh dipercayai, atau diyakini bersih

(3)     Antara lain yang perlu dilihat, selain daripada bilangan keahlian yang bertambah saban hari, ialah tabiat ahli PAS yang masih lagi sukar untuk meninggalkan rokok.

Selain rokok, mungkin ada yang mengalami masalah rumah tangga, perceraian, skandal duit (scam) dan sebagainya. Isu-isu inilah yang menjadi cerminan masyarakat terhadap kepercayaan itu.

(4)     Walaupun memang kita boleh anggap ia adalah masalah ‘universal’, namun apabila terjadi kepada ahli PAS, sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan terhadap gerak kerja dakwah.

Contoh di luar PAS, apabila ada anak Menteri atau parti lain yang disyaki terlibat dengan kes-kes jenayah, dadah dan sebagainya, seronok kita pula mentroll. Fikirkan jika ia diuji pada kita?

Kita seronok mentroll dan mengejek musuh, tetapi kita sendiri benci sekiranya kita diejek dan ditroll. Bahkan budaya troll ini sendiri diharamkan dalam Islam.

Berlumba meramal angka

(1)     Boleh muhasabah apa yang terjadi pada PRK Kimanis. ILHAM Centre mengemukakan kaji selidik, ramalannya mengatakan WARISAN bakal menang selesa.

Manakala TSIS pula meramalkan BN akan menang. Lalu setelah PRK berlangsung, ternyata BN menang. Apa sikap ahli-ahli kita terhadap kaji selidik?

(2)     Ahli-ahli kita dan termasuk juga pimpinan mula seronok untuk mentroll ILHAM Centre. Macam-macam sindirian yang dibahankan di media secara terbuka.

Ya, sesiapa sahaja ada hak untuk membuat kaji selidik. Walaupun mungkin ada yang mempamerkan kaji selidik ala-ala Rafizi hanya untuk psywar.

(3)     Tetapi yang masalahnya ialah apabila ramalan ILHAM Centre itu meleset, kita terus hilang akhlak. Dalam kaji selidik sebelum ini, apabila TSIS meleset, kita ditroll.

Asalnya lapangan kajian ini dilakukan secara akademik, terus bertukar menjadi medan meramal angka kemenangan, dan bertukar juga menjadi medan troll mentroll.

(4)     Hal ini perlu dimuhasabahkan. Kalau dahulu kita boleh anggap kaji selidik sebagai ‘kaji selidik’ namun hari ini ia sudah bertukar menjadi alat alat saraf (weaponized).

Kalau ‘orang luar’ nak menggunakan strategi ini, terpulang. Tetapi kalau kita pula yang terhegeh-hegeh untuk ‘fight’ ramalan dan data siapakah yang lebih tepat, maka lebih baik bermuhasabah.

Kajian atau pendataan sepatutnya digunakan untuk post-morterm bagi menyelaraskan semula gerak kerja, dan melihat kekuatan serta kelemahan. Ini yang sepatutnya.

Mulut tiada insurans

(1)     Antara yang sukar ditinggalkan oleh segelintir ahli gerakan Islam ialah mulut atau tangan (tulisan) yang tiada insurans. Melemparkan kata-kata kotor tak sesuai pada tempatnya.

Rasulullah S.A.W bersabda:



لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

“Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”



Dalam Hadis yang lain;



أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

“Tahukah anda siapa sebenarnya muflis? Sahabat-sahabat menjawab: ‘Muflis sepanjang pengetahuan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta. (Nabi S.A.W bersabda: Bukan muflis harta aku maksudkan) tetapi muflis pahala pada hari Kiamat. Sebahagian umatku pada hari itu datang membawa amalan-amalan solat, puasa dan zakat. Pada masa sama juga dia membawa dosa-dosa mengutuk orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membunuh orang dan memukul orang. Penyelesaian pada hari itu adalah dengan mengambil amal kebajikannya lalu diberi kepada orang yang dizaliminya. Andainya amal kebajikan yang dibawanya belum cukup, akan diambil dosa-dosa mangsa yang dizaliminya, lalu dibebankan di atas kepalanya, kemudian dicampaknya ke dalam neraka.”

(Shahih Muslim)



(2)      Peringatan-peringatan seperti ini perlu diperhatikan, bimbang kita hanya nampak orang lain jahat, tetapi tidak mencermin kejahatan diri sendiri.

Jangan terikut dengan gaya komen masyarakat awam. Biarkan mereka dengan ayat-ayat ejek mereka. Kita perlu ada jati diri sebagai seorang ahli gerakan Islam.

Jangan meletak diri dalam kancah fitnah

(1)     Di dalam kitab Raudhatul Uqala’

Imam Ibn Hibban meriwayatkan satu kisah, ketika Nabi S.A.W sedang beri’tikaf, lalu isterinya Sufiyyah binti Huyay datang kepada Baginda S.A.W.

Dalam keadaan begitu, ada dua orang lelaki kebetulan lalu di situ melihat Nabi S.A.W bersendirian bersama seorang perempuan yang tidak dikenali.

Lalu cepat-cepat Nabi S.A.W menyatakan kepada mereka bahawa perempuan ini Sufiyyah, isteri Baginda S.A.W. Kedua-dua lelaki tersebut terkejut dengan kata-kata Nabi S.A.W.

Mereka tidak bertanya pun siapakah perempuan itu. Tapi Nabi S.A.W terus menjawabkan sekalipun tidak ditanya, kerana bimbang berlakunya salah sangka.

(2)     Nabi S.A.W bersabda;



إن الشيطان يجري من الإنسان مجرى الدم، وإني خشيت أن يقذف في قلوبكما سوءًا

“Sesungguhnya syaitan itu berjalan di dalam badan manusia melalui aliran darah. Dan aku bimbang syaitan itu mencampakkan sangkaan buruk di dalam hati kami berdua.”



(3)     Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa ahli jemaah mestilah menjaga diri daripada difitnah. Kalau musuh nak fitnah, itu memang makanan mereka.

Namun, kita sendiri perlu sentiasa berwaspada supaya tidak meletakkan diri dalam kancah fitnah. Seolah-olah sengaja ‘menjemput’ orang untuk memfitnah dirinya.

Menjemput fitnah

(1)     Ada dari kalangan politikus yang sengaja meletakkan dirinya dalam kancah fitnah, atas tujuan supaya dia dikenali. Ini bukan cara Islam.

Khususnya masa nak berkempen PRU14. Masing-masing berebut-rebut nak create isu agar mendapat perhatian, dan menaikkan rating sebagai calon.

(2)     Perangai ini sama, tanpa mengira parti. Kalau geng PH bila sudah menang, terus menerus cipta-cipta isu kontroversi supaya mendapat liputan dan berjaya mencipta fenomena.

Ini realiti ketika PH menang. Kalau PAS yang menang bagaimana? Nak kejar juga populariti dengan mengcreate isu agar ditohmah dan difitnah kemudian raih simpati?

(3)     Ahli PAS perlu kembali sedar bahawa PAS menjadikan politik kepartian itu hanya sebagai wasilah, bukannya matlamat. Matlamat yang terutama ialah Islam, bukannya parti.

Maka perlu kembali kepada cara Islam, bukannya terikut dengan tabiat-tabiat politikus meraih pengaruh murahan dan mencipta nama.

(4)     Apabila nama sudah tercipta, pengaruh sudah diraih, maka manusia itu diuji dengan kejujuran dan keikhlasan. Mereka yang berpengaruh, kalau tipu pun orang percaya.

Sebab itulah di awal tadi saya kaitkan penyakit ini dengan ahli-ahli politik. Asalnya politik itu dianggap mengurus tadbir, terapi hari ini politik itu dikenali sebagai helah untuk berbohong.

Teguran Fathi Yakan

Teguran Fathi Yakan di dalam buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam;



“Oleh yang demikian masalah atau kepentingan rakyat telah berubah menjadi kepentingan parti, kepentingan parti pula bertukar menjadi kepentingan peribadi bagi pemimpin-pemimpin parti.”



Oleh yang demikian isu-isu yang berhubung dengan persoalan umat telah menjadi kertas kerja – kertas kerja yang membawa keuntungan, menjadi barang yang diperdagangkan boleh ditawar menawar di pasaran.

Musuh di masa lampau kini menjadi teman rapat teman-teman rapat hari ini pula besok yang menjadi musuh ketat. Beginilah keadaannya hinggalah idealogi atau fahaman-fahaman ini tidak membawa sebarang erti lagi yang tinggal hanyalah nama slogan-slogan yang dusta lagi palsu.

Inilah keadaan yang berlaku dalam kancah perebutan kuasa dan idealogi-ideologi ciptaan manusia dan pertarungan inilah yang menjelaskan dan mendedahkan rahsia pergolakan yang tersembunyi dalam idealogi-idealogi tersebut.

Dan inilah sebab yang membolehkan ia berkembang dan mendapat kekuasaan dalam masa yang singkat.

Pada hakikatnya idealogi-idealogi ini tidaklah terikat dengan akidah dan akhlak dalam erti kata yang sebenarnya malah ia juga tidak mempunyai sikap dan pendirian yang jelas.

Yang ada pada mereka hanyalah strategi yang digunakan untuk menindas yang lain dan pertarungan yang sengit untuk mendapat ruang mempergunakan keadaan-keadaan tertentu.

Dan memperniagakan persoalan-persoalan umat walaupun dengan harga yang murah, sekalipun terpaksa mengorbankan ummah itu sendiri atau bangsa seluruhnya.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 21/1/2020

- Advertisement -