Karnival Kaligrafi serlah wajah sebenar Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia (PADU) telah menjayakan penganjuran Karnival Kaligrafi pada program yang berlangsung di Melawati Mall, Taman Melawati, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program yang bertujuan memupuk semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama itu telah memperkenal dan mendedahkan kepada orang ramai seni kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil.

Ianya juga satu inisiatif PADU yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam meraikan keunikan kepelbagaian budaya di negara ini dan mewujudkan interaksi muhibah dan harmoni.

Malah, penganjurannya ketika kemuncak pelbagai persepsi negatif dan radikal berbaur perkauman sedang menular dalam warganegara ini dilihat dapat meredakan dan mempertaut kembali kerenggangan yang terjadi.

Majlis ini telah dirasmikan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin yang juga Penasihat PADU dengan turut dihadiri Ketua Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan dan Presiden Global Unity Network, Shah Kirit Kakulal Govindji.

Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa kaum Cina dan India adalah rakyat Malaysia dan bukannya pendatang di mana mereka telah mewarnai keharmonian dan bersama menyumbang kepada pembangunan negara.

Terangnya, Malaysia bertuah memiliki kepelbagaian kaum yang membolehkan tuntutan Allah S.W.T di dalam al-Quran supaya saling mengenali dan bantu membantu ke arah kebaikan dizahir dan direalisasikan.

Maklumnya, Pemuda PAS telah melangkah lebih dari itu dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum di mana sedang menyiapkan silibus mata pelajaran Mandarin dan Tamil di semua sekolah kelolaan PAS.

Program julung kali ini telah mendapat sentuhan dan tunjuk ajar terdiri daripada Ustaz Mohd Zulfikri Sobri dan Tai Zee How serta Ts Dr Velu Perumal yang masing-masinh merupakan pakar kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil.

Mereka telah mendemonstrasikan penulisan kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil sebelum dibuka kepada orang ramai dari pelbagai kaum menyertai pertandingan termasuk khas untuk kanak-kanak menulis kaligrafi “Kami Sayang Malaysia”.

Program turut dimeriahkan dengan pemeriksaan kesihatan dan pameran misi kemanusiaan daripada beberapa NGO sebelum diakhiri dengan pengisian oleh Pengerusi Humanitarian Inspired Global Organisation Malaysia (HIGOM), Ustaz Kamalulhysham Suhut.

Hadir sama Bendahari Dewan Himpunan Pendukung PAS, Kong Tuck Wah dan Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim. – HARAKAHDAILY 20/1/2020

- Advertisement -