Kaligrafi kaum untuk penyatuan, bukan ditakutkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kaligrafi sesuatu bangsa sememangnya berbeza bentuk dengan keindahan seni pada ciri dan gaya sendiri, tetapi tetap ada yang membawa maksud serupa.

- Advertisement -

Oleh itu sewajarnya perbezaan sebagaimana kepelbagaian kaum yang terdapat di negara ini membolehkan saling mengenali dan bukannya untuk menjurang atau saling menyalahkan.

Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Muslimat PAS Malaysia, Mardhiah Hayati Zolkeplai berkata demikian mengulas integrasi seni kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil.

Mewakili lajnah tersebut beliau menyertai Karnival Kaligraf anjuran Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia (PADU) yang dilangsungkan di Melawati Mall, Taman Melawati, di sini kelmarin.

Program tersebut memperkenalkan orang ramai kepada kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil dengan menampilkan pakar seni tersebut iaitu Ustaz Zulfikri Sobri, Tai Zee How dan Tas Dr Velu Perumal.

Menurut Mardhiah, tulisan tersebut melambangkan kemajmukan rakyat Malaysia dan wajar menjadi sesuatu yang dapat mengikat perpaduan kaum, bukan dikontroversikan.

Malah ujar beliau, pemimpin parti politik mahupun NGO tidak sepatutnya mempolemikkan isu penggunaan tulisan khat Jawi sebagaimana yang memanaskan kaum baru-baru ini.

Ini kerana katanya, mempelajari tulisan atau kaligrafi sedemikian tidak akan menggugat pegangan agama atau mengubah status kaum seseorang sebaliknya ia akan mencerdikpandaikan bangsa. – HARAKAHDAILY 20/1/2020

- Advertisement -