KUALA LANGAT: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Langat bersama Ameerah Kuala Langat telah mengadakan program Street Calligraphy bertempat di Pantai Morib, Banting, di sini petang semalam.
Antara objektif program ini adalah untuk menjernihkan salah faham dan ketakutan orang bukan Islam terhadap tulisan Jawi.
Ia juga bertujuan untuk merapatkan jurang dan keharmonian antara kaum yang berbilang bangsa dan diharapkan dapat memupuk rasa kasih sayang dan kefahaman terhadap seni kaligrafi kaum lain di Malaysia yang unik.
Lebih dari 50 nama pengunjung yang sempat ditulis di atas kertas yang disediakan oleh tiga penulis jemputan iaitu Nik Nur Muhammad Alif (Jawi), Safua Ain (Cina) dan Venothraj Gengatharan (Tamil).
Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, tulisan Jawi bukan penyebab berlakunya perpecahan kaum seperti yang telah didakwa oleh pihak tertentu.
Bahkan menurutnya, penguasaan tulisan Jawi dan tulisan bangsa lain sebenarnya dapat merapatkan serta mengukuhkan perpaduan di antara kaum di Malaysia.
Beliau juga menggalakkan agar semua kaum dan bangsa saling mengenali dan memahami budaya di antara satu sama lain.
Program ini telah dihadiri oleh Setiausaha Pemuda PAS Selangor, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin dan Ketua Pemuda MIC Selangor, Sritheran serta Pemuda PAS Kuala Langat dan Ameerah Kuala Langat.
Dalam suasana yang harmoni, pengunjung berasa teruja untuk melihat nama mereka ditulis dalam empat jenis tulisan iaitu tulisan Rumi, Jawi, Tamil dan Cina.
Kehadiran beberapa pengunjung dari kalangan bangsa lain membuktikan bahawa masyarakat tidak terpengaruh dengan momokan yang negatif terhadap tulisan Jawi. – HARAKAHDAILY 20/1/2020