FITS modul gaya hidup sihat diperkenal DACS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menara Berkembar PETRONAS Kuala Lumpur City Centre (KLCC) jadi simbolik semangat juang anak muda dalam memperkenalkan produk kehidupan sejahtera, ‘Fit Is Sunnah (FITS)’.

- Advertisement -

Program julung kali diuar-uarkan kepada masyarakat dalam memupuk gaya hidup sihat itu merupakan inisiatif Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Malaysia melalui Kelab DACS Fit.

FITS bukan sahaja dipromosikan untuk menjadi antara minat anak muda masa kini, tetapi lebih daripada itu adalah mengamalkannya berasaskan Sunnah Rasulullah S.A.W yang pasti membawa manfaat.

“Apabila kita sihat fizikal sebenarnya ia akan lebih mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, Tuhan Pencipta dengan keupayaan beribadat yang mana hidup di dunia ini adalah ladang untuk hasil di akhirat.

“Tahniah buat DACS Malaysia yang semakin hebat mengaktifkan dunia anak muda dengan pelbagai aktiviti bermanfaat dan kini tampil menawarkan khidmat melalui DACS Fit,” ujar Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin.

Beliau turut beriadah bersama jurulatih DACS Fit, pimpinan Pemuda PAS Malaysia dan Pengarah-pengarah DACS Negeri seterusnya merasmikan pelancaran DACS Fit di KLCC Park, di sini pagi kelmarin.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri, modul pelaksanaan FITS akan terus diperluas dan disusun oleh DACS Fit yang kini diketuai Pengerusinya, Mohd Syafiq Khairi khususnya program PAS di pelbagai peringkat.

Katanya lagi, PAS adalah parti politik yang menggerakkan dakwah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah juga melalui DACS Fit bersedia menjadi rakan perunding atau pelaksana modul Fit patuh syariah.

Turut hadir bersama dalam menjayakan program tersebut, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Faizuddin Mohd Zai dan Timbalan Ketua Pengarah DACS Malaysia, Muhammad Fadzli Abu Bakar serta bekas ADUN Templer, Zaidy Abdul Talib. – HARAKAHDAILY 20/1/2020

- Advertisement -