e-Tunai: Wujud risiko kebocoran data peribadi?

- Advertisement -

DALAM isu pengenalan aplikasi E-Tunai Rakyat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan bahawa semua data peribadi yang diberikan oleh pemohon akan disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional Berhad dan hanya dikongsi oleh Kerajaan dan tidak syarikat luar.

Kenyataan ini hakikatnya tidak menjamin data tersebut daripada dibocorkan, terutamanya apabila wujud penyelewengan terhadap penyimpanan dan pemprosesan data yang diberikan.

Kebocoran data peribadi secara besar-besaran sebelum ini yang membabitkan rekod perubatan warganegara Malaysia seperti yang didedahkan oleh syarikat keselamatan Jerman membuktikan bahawa sentiasa wujud risiko kebocoran data walaupun ia dikendalikan oleh kerajaan.

Dalam hal ini, saya berpandangan bahawa penggunaan e-Tunai atau transaksi tanpa tunai (cashless transaction) ini adalah seiring dengan Revolusi Industri 4.0 dan sudah tidak boleh bendung lagi, cuma sejauh mana peruntukan undang-undang yang ada mampu melindungi pengguna secara menyeluruh?

Oleh itu, saya mendesak kerajaan agar membuat pindaan segera kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi memastikan sekiranya wujud sebarang kebocoran data oleh mana-mana pihak, pengguna berhak untuk dimaklumkan dengan segera secara peribadi sebagaimana praktis di negara-negara maju yang lain.

Hal ini penting bagi memastikan keselamatan peribadi pengguna dilindungi setiap masa dan pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas daripada tindakan dengan menyembunyikan mana-mana insiden kebocoran data.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
20 Januari 2020/ 24 Jamadilawwal 1441H – HARAKAHDAILY 20/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -