PRK: Dulu lain, sekarang lain

- Advertisement -

DULU, Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah sesuatu paling ditakuti pembangkang, apatah lagi jika yang terkosong itu ialah kerusi pembangkang. Sebab bila mana ada PRK, segala mak nenek jentera kerajaan turun digunakan bagi membantu calon kerajaan. Pendek kata, ayat-ayat seperti kita lawan kerajaan, bukan parti lawan parti, kalah dalam tangan, menang itu bonus, itu adalah ayat biasa.

SB-SB (Special Branch Police) berkeliaran mencari mangsa, mengintai ruang bagi menyelinap masuk dalam jentera parti, menceroboh sistem maklumat, sabotaj kempen pembangkang dengan berbagai cara. Antara yang tersohor, pakai baju berlambangkan pembangkang, buat onar di tengah khalayak, maka nama pembangkang akan menjadi hodoh. Jangan lupa juga pengundi hantu yang datang mengganggu.

Oleh itu, PRK ialah satu igauan ngeri pembangkang untuk menang. Tidak cukup dengan janji-janji kerajaan, menurap asphalt sehingga ke hujung tangga, mencurahkan wang dengan banyaknya, mereka juga menggunakan teknik mengugut untuk tidak memberikan bantuan.

Ada juga program menghantar anak-anak angkat dari universiti yang telah dilatih bagi memujuk ibu bapa angkat mereka. Juga tidak lupa, fitnah-fitnah disebarkan kepada pembangkang melalui TV. Justeru, PRK pada waktu itu, adalah misi kemenangan yang hampir mustahil.

Tetapi ianya berbeza sekarang. PRK adalah sesuatu yang amat mengganggu jiwa dan ketenteraman kerajaan memerintah. Walau sudah digunakan jentera kerajaan yang tidak pernah gagal, yang sentiasa sahaja berkebetulan ada program di kawasan PRK, namun mereka masih kalah.

Bukan sahaja kalah di kerusi asal pembangkang, malah di kerusi kepunyaan mereka juga, calon kerajaan rebah tersembam. Ada yang sampai majoritinya berganda-ganda meningkat menyebelahi parti pembangkang. SB-SB saya kurang pasti adakah menjalankan peranan seperti dahulu atau tidak.

Walaupun cara yang sama digunakan sebagaimana kerajaan terdahulu, menaburi janji-janji indah, dengan peruntukan yang secara tidak sengaja kena pada waktu dan lokasi berlangsungnya PRK, kerajaan tetap berputih mata. Tidak terpedaya umpan mereka kepada rakyat dengan kata-kata manis, kajian-kajian yang kononnya menyebelahi kerajaan dan kenyataan-kenyataan yang menyakin bahawa mereka akan menang besar.

Amat jelas, PRK sekarang ini adalah menjadi hantu pocong yang menakutkan kerajaan sekarang. Sentiasa mengusik, menyeringaikan taring yang berdarah, menunjukkan kukunya yang tajam. Sungguh menggerunkan kerajaan dan penyokong setia mereka yang semakin menyusut itu. Mereka ketakutan kerana mereka tidak tahu membaca Ruqyah.

Tetapi yang saya perasan dan ingat, semua PRK di Semenanjung pasca Muafakat Nasional ditubuhkan, telah pun melibatkan semua parti (dengan menganggap BN sebagai parti besar) kecuali dua iaitu PAS dan PAN. Pastinya rakyat ternanti-nanti akan bertembungan ini. Bukanlah bermaksud saya mendoakan wakil PAS atau PAN meninggal, tidak sekali-kali. Tetapi hanya terlintas bagaimana agaknya jika berlaku pertembungan ini.

Keputusannya mungkin sudah kita yakini kekalahan kepada PAN. Tetapi seteruk mana, itu yang kita nak tahu. Apa pandangan anda?

MOHD NASIR ABDULLAH
19 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 19/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -