Dua beradik graduan cemerlang KUIZM

- Advertisement -

DUA beradik, Ainor Syuhadah Khalid, 20 dan Ainor Syahirah Khalid, 23 melakarkan kejayaan tersendiri apabila masing-masing dinobatkan sebagai penerima Anugerah Terbaik Akademik dan Anugerah Terbaik Keseluruhan sempena Majlis Konvokesyen Ke-6 Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Kuala Lumpur, semalam.

Lebih indah lagi kejayaan ini sebagai persediaan untuk memenuhi impian ayah dan ibu mereka yang mengimpikan kedua-duanya menjadi penggerak pondok tahfiz perempuan yang akan dibangunkan oleh ayah mereka satu masa nanti.

Kedua-dua mereka menduduki Diploma Dakwah dan Komunikasi kini sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang bimbingan dan kaunseling Islam di Institusi Raden Fatah Palembang, Indonesia.

Mereka juga bercita-cita menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi demi menguasai ilmu pengetahuan agama sebagai bekalan menghadapi medan cabaran semasa terhadap Islam.

- Advertisement -

Ainor Syahirah berkata, beliau dan adiknya berkongsi cita-cita dan minat yang sama, ingin menyampaikan dakwah Islam yang menekankan aliran pemikiran dan idealogi Islam di pondok tahfiz perempuan akan digerakkan oleh mereka nanti.

“Kami nak membantu ayah dan Islam dengan menyampaikan dakwah melalui pengajian agama di sekolah khususnya nak bagi pencerahan mengenai aliran pemikiran dan ideologi hari ini, sebab tak banyak sekolah macam itu hari ini.

“Sebagai wanita, kami merasa terpanggil ingin berkongsi pengetahuan dengan mendidik kaum wanita dengan ideologi Islam yang kita lihat banyak cabaran pengaruh barat yang kian merunsingkan masyarakat hari ini.

30 graduan berjaya menamatkan pengajian bergambar kenangan dengan para pendidik dan pentadbir selepas Majlis Konvokesyen ke-6 Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, semalam.

“Semoga impian kami ini boleh membantu kaum wanita di luar sana untuk menjadi muslimah baik,” kata Ainor Syahirah ketika ditemui HarakahDaily pada Majlis Konvokesyen KUIZM.

Berkongsi rahsia kejayaan, kedua-duanya yang menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris mengambil pesanan ayah mereka sebagai kata-kata semangat untuk belajar bersunguh-sungguh.

“Ayah selalu pesan, belajar ini bukan kerana dia atau ibu tetapi kerana Allah, ini yang kami pegang. Selain kami didik diri supaya menjauhi maksiat dan sentiasa meminta doa dan restu ibu ayah yang menjadi faktor kami mudah faham ilmu yang disampaikan.

“Selain itu disebabkan kami dari kursus yang sama membolehkan kami mengulangkaji bersama-sama. Inilah rakan sekuliah saya, inilah teman serumah saya,” kata Syahirah sambil memeluk adiknya, Syuhadah.

Rektor KUIZM, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyampaikan ucapan sekalung tahniah kepada para graduannya.

Ayah mereka, Khalid Nayan, 46 yang merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Klang dan Pengerusi Majlis Guru Besar SRITI Selangor dan SRITI Malaysia berkata, kejayaan kedua-dua permatanya sebagai pemangkin bahawa KUIZM juga boleh melahirkan generasi cemerlang.

Khalid dan isterinya, Nor Faridah Mohamat Ali, 45 berharap anak mereka menjadi penyambung perjuangan Islam dan parti PAS untuk generasi akan datang.

“Insha-Allah kami dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah tahfiz al-banat perempuan dan di tahfiz ini kita nak memberi pendedahan kepada pelajar kita dalam ilmu pemikiran Islam dan IT, maknanya dia keluar nanti dia pandai untuk berfikir hak tentang pemikiran Islam dan IT,” kata Khalid.

Sementara itu, Rektor KUIZM, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata kecemerlangan dua adik-beradik ini melestarikan cita-cita KUIZM yang ditubuhkan sebagai tapak untuk melahirkan generasi pemimpin Islam yang hebat untuk masa akan datang.

Majlis disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Hashim Jasin di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, KUIZM.

Seramai 30 penuntut KUIZM menerima sijil masing-masing membabitkan 16 penerima sijil Diploma Dakwah dan Komunikasi, 8 penerima Diploma Muamalat dan Kewangan Islam dan 6 penerima Pensijilan Asas Pengajian Islam.

Manakala Anugerah Terbaik Jabatan Dakwah dan Komunikasi dan Anugerah Terbaik Jabatan Muamalat dan Kewangan Islam diterima oleh Ahmad Ridhuan Arazmi dan Asyraf Rifa’ie Azhar.

Turut disampaikan Anugerah Khas Jasamu Dikenang diterima oleh almarhum Ustaz Wan Ahmad Rasyidi dan Dr Mahfodz Mohamed menerima Anugerah Tokoh Alim Haraki.

KUIZM memperkenalkan Anugerah Tokoh Alim Haraki pada tahun 2019 yang mengiktirafkan penerimanya sebagai Tuan Guru dan penerima pertama anugerah tersebut adalah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 19/1/2020

- Advertisement -