Dapatan ILHAM Centre kurang tepat

- Advertisement -

16 JANUARI lalu Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, dengan yakinnya memaklumkan kepada Astro Awani bahawa WARISAN akan menang selesa dalam PRK Kimanis.

Mengikut beliau, tiga punca kemenangan WARISAN adalah kedudukannya sebagai parti pemerintah, faktor pengikut sedia ada dan sentimen pengundi yang lebih menyokong parti tempatan.

Sebelum itu, pada 5 Januari, ILHAM Centre juga dengan yakinnya menyatakan:
(1)     BN lumpuh sepenuhnya di Sabah sebulan selepas PRU14 apabila semua komponennya keluar gagasan itu.
(2)     Umno Sabah pula sakit teruk menjelang PRU14 apabila sebahagian anggota mereka keluar menyertai WARISAN.
(3)     Umno Sabah kemudiannya jatuh nazak selepas PRU14 apabila hampir semua wakil rakyat mereka keluar parti selepas kalah dalam pilihan raya tersebut.

Saya sendiri telah mengkritik penggunaan istilah-istilah “BN lumpuh sepenuhnya”, “Umno Sabah sakit teruk” dan “Umno Sabah jatuh nazak” yang seperti diselaputi emosi dan kurang objektif tanpa perincian bukti.

Saya juga menyatakan bahawa soalan yang lebih relevan ditanya ialah apakah tindakan wakil-wakil rakyat Umno Sabah keluar parti disokong atau diikuti dengan tindakan sama oleh ahli-ahli Umno Sabah.

Ternyata telahan saya betul bila kaji selidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mendapati bahawa Umno Sabah masih kukuh dan akar umbinya ramai yang masih setia dengannya.

Ia juga terbukti betul bila keputusan rasmi PRK Kimanis yang diumumkan malam ini menunjukkan calon BN, Datuk Mohamad Alamin, berjaya mengalahkan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

Tahniah kepada Datuk Mohamad Alamin yang berjaya menjadi Ahli Parlimen Kimanis baru dan kepada TSIS yang berjaya menzahirkan kaji selidik berwibawa untuk PRK Kimanis.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 18/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -