Akhir zaman: Pemanasan global dan krisis iklim

- Advertisement -

AFRIKA dan Australia terbakar

(1)     Apa yang menjadi perbincangan hangat pada hari ini ialah pemanasan global yang sudah dijangkakan sejak 90-an lagi. Namun, sejak akhir-akhir ini ia semakin rancak.

(2)     Pada Ogos 2019, antara isu terbesar ketika itu ialah kebakaran Hutan Amazon yang dianggap jantung dunia. Ogos 2019 menjadi tarikh penting dalam geografi dunia.

Daily Mail melaporkan, kebakaran itu membabitkan kawasan hutan seluas lebih satu juta batu persegi di Congo Basin dan disifatkan sebagai kawasan hijau terbesar dunia selepas Amazon.

(3)     Kenapa saya menganggap Ogos 2019 adalah tarikh penting? Antaranya pada bulan itu juga, hangatnya perbincangan bahawa Amerika ingin membeli Greenland.

Greenland asalnya di bawah jajahan Denmark, dicadangkan oleh Trump untuk membelinya. Antara sebab keberaniannya ialah faktor pemanasan global.

(4)     Ais di seluruh dunia sedang mencair, termasuk di Greenland. Paras laut akan meningkat mungkin menyebabkan negara-negara tertentu akan mengecil.

Daerah-daerah di tepian pantai juga dijangka tenggelam secara perlahan lahan. Justeru, langkah Trump itu walaupun kelihatan sengal, tapi agak masuk akal.

(5)     Selain daripada kebakaran di Afrika, hari ini sedang berlakunya kebakaran yang dahsyat di Australia. Sudah mencecah 2000 rumah musnah dan 28 orang korban.

Merebut kehidupan

(1)     Kebakaran di Australia dicatatkan sebagai terburuk dalam sejarah. Sudah pasti menyumbang kepada perubahan iklim dunia yang sangat drastik.

(2)     Kajian mendapati 98 peratus punca pemanasan global ialah pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18.

Perubahan penggunaan tanah turut menyumbang 30 peratus pelepasan karbon dioksida. Karbon dioksida yang dilepaskan ini tidak seimbang dengan kewujudan tumbuh-tumbuhan.

Ini kerana tumbuh-tumbuhan, bertindak menyedut karbon dioksida, dan melepaskan oksigen. Tetapi apabila hutan terbakar, ada yang ditarah untuk pembangunan, akhirnya menyumbang kepada ketidak-seimbangan.

(3)     Ketidak-seimbangan ini berlarutan sehingga akhirnya menyebabkan pemanasan global yang lebih awal daripada jangkaan. Justeru, fenomena ini bakal merubah dunia.

(4)     Kalau dahulu manusia berperang meluaskan empayar, tetapi hari ini manusia berperang untuk merebut kehidupan. Kerana kehidupan pada hari ini sudah terancam.

Maka, perlu berebut untuk teruskan survival hidup. Artikel saya sebelum ini ada mengulas mengenai hal ini, membincangkan mengenai perebutan sungai dan tasik.

Sungai dan tasik sebagai sumber air tawar sering menjadi konflik. Contohnya Krisis Kashmir, Dataran Tinggi Golan, Sungai Nil dan sebagainya

Kegilaan manusia akhir zaman

(1)     Cuma dalam artikel ini saya tidak berniat nak menyentuh dari sudut konflik politik. Akan tetapi lebih cenderung kepada perebutan mencari kehidupan.

Manusia sepatutnya perlu berfikir untuk meneruskan kehidupan. Bukan lagi berfikir untuk mencari kepentingan atau kuasa. Namun, kegilaan sebahagian manusia, mereka mencari kuasa.

Ini kerana mereka menganggap kuasa itu adalah segala-galanya. Walhal manusia yang paling berkuasa sekalipun, tetap akan mati, meninggalkan segala kuasa yang ada.

(2)     Secara ringkasnya, ada 5 faktor yang menyumbang kepada pemanasan global, iaitu perindustrian, pengangkutan, pembakaran hutan, pertanian atau penternakan dan letusan gunung berapi.

(3)     Hari ini sudah bermacam-macam teknologi mesra alam dicipta khususnya dalam bidang pengangkutan, namun ia masih lagi belum mampu menampung kerakusan yang ada;

- Advertisement -



ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Rum: 41)



(4)     Walau bagaimanapun, apa yang ingin dikaitkan dengan pemanasan global ini ialah poin-poin yang berkaitan dengan geo-eskatologi (akhir zaman).

Banyak Hadis Nabi S.A.W yang menggambarkan realiti geografi akhir zaman yang semakin hari kita semakin menyaksikannya depan mata.

Iklim akhir zaman

(1)     Antara Hadis Nabi S.A.W berkenaan akhir zaman yang berkaitan dengan geografi dan iklim;



يقتتل عند كنزكم ثلاثة كلّهم ابن خليفة، ثمّ لا يصير إلى واحد منهم، ثمّ تطلع الرايات السود من قبل المشرق ويقتلونكم قتلاً لم يقتله قوم ـ ثمّ ذكر شيئاً لا أحفظه ـ فقال: فإذا رأيتموه فبايعوه ولو حبواً على الثلج فانّه خليفة اللّه المهدي

“(Pertempuran yang kamu pendamkan antara tiga pihak kesemua mereka anak-anak Khalifah, maka tidak berlaku kepada seseorang dari mereka, kemudian muncul panji-panji hitam datang dari arah Timur. Dan terjadi peperangan yang belum pernah berlaku pada suatu kaum dan kemudian menyebut sesuatu yang tidak aku ingat, lalu Baginda bersabda: Jika kamu melihatnya maka berbai’ahlah padanya walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji, kerana dia adalah Khalifah Allah Al-Mahdi).”

(Sunan Ibn Majah)



Hadis di atas menceritakan mengenai salji. Seolah-olah mengisyaratkan kepada satu lokasi yang khusus, yang mempunyai salji. Wallahuaklam.

(2)     Sebelum ini saya telah menulis artikel mengenai cuaca kemarau ketika kemunculan Dajjal;



عَنْ أَبِى أُمَامَةَ الْبَاهِلِىِّ قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَكَانَ أَكْثَرُ خُطْبَتِهِ حَدِيثًا حَدَّثَنَاهُ عَنِ الدَّجَّالِ وَحَذَّرَنَاهُ فَكَانَ مِنْ قَوْلِهِ أَنْ قَالَ : وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنْ يَأْمُرَ السَّمَاءَ أَنْ تُمْطِرَ فَتُمْطِرَ وَيَأْمُرَ الأَرْضَ أَنْ تُنْبِتَ فَتُنْبِتَ وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنْ يَمُرَّ بِالْحَيِّ فَيُكَذِّبُونَهُ فَلا تَبْقَى لَهُمْ سَائِمَةٌ إِلا هَلَكَتْ وَإِنَّ مِنْ فِتْنَتِهِ أَنْ يَمُرَّ بِالْحَيِّ فَيُصَدِّقُونَهُ فَيَأْمُرَ السَّمَاءَ أَنْ تُمْطِرَ فَتُمْطِرَ وَيَأْمُرَ الأَرْضَ أَنْ تُنْبِتَ فَتُنْبِتَ

“Daripada Abi Umamah al Bahili R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W berucap di hadapan kami. Kebanyakan ucapannya menyebut mengenai Dajjal, dan meminta kami berjaga-jaga… di antara yang disebut: Di antara fitnahnya ialah apabila Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujan, maka turunlah hujan. Apabila dia menyuruh tanah supaya menumbuhkan hasilnya, maka tumbuhlah tumbuhan. Di antara fitnahnya juga ialah apabila dia mengunjungi manusia yang hidup dan manusia tersebut mendustakannya, maka tiadalah yang tinggal padanya, semuanya musnah. Di antara fitnahnya juga ialah apabila dia mengunjungi orang yang lain, lalu orang tersebut beriman dengannya, maka dia akan menyuruh langit menurunkan hujan lalu turunlah hujan serta merta dan menyuruh tanah di situ supaya menumbuhkan tanaman, lalu tumbuhlah tanaman.



Hadis Jassasah

(1)     Dalam Hadis-hadis yang lain, ada menyebut mengenai ladang kurma di Baisan, Tasik Tabari (Galilee) di Sempadan Palestin dan Syria, keringnya Sungai Furat dan banyak lagi.

Antara potongan Hadis Tamim ad Dariy berkenaan perbualannya dengan Dajjal;



فَقَالَ : أَخْبِرُونِي عَنْ نَخْلِ بَيْسَانَ ؟ ، قُلْنَا : عَنْ أَيِّ شَأْنِهَا تَسْتَخْبِرُ ؟ ، قَالَ : أَسْأَلُكُمْ عَنْ نَخْلِهَا هَلْ يُثْمِرُ ؟ ، قُلْنَا لَهُ : نَعَمْ ، قَالَ : أَمَا إِنَّهُ يُوشِكُ أَنْ لَا تُثْمِرَ ؟ ، قَالَ : أَخْبِرُونِي عَنْ بُحَيْرَةِ الطَّبَرِيَّةِ ؟ ، قُلْنَا : عَنْ أَيِّ شَأْنِهَا تَسْتَخْبِرُ ؟ ، قَالَ : هَلْ فِيهَا مَاءٌ ؟ ، قَالُوا : هِيَ كَثِيرَةُ الْمَاءِ ، قَالَ : أَمَا إِنَّ مَاءَهَا يُوشِكُ أَنْ يَذْهَبَ ؟ ، قَالَ : أَخْبِرُونِي عَنْ عَيْنِ زُغَرَ ؟ ، قَالُوا : عَنْ أَيِّ شَأْنِهَا تَسْتَخْبِرُ ؟ ، قَالَ : هَلْ فِي الْعَيْنِ مَاءٌ وَهَلْ يَزْرَعُ أَهْلُهَا بِمَاءِ الْعَيْنِ ؟ ، قُلْنَا لَهُ : نَعَمْ ، هِيَ كَثِيرَةُ الْمَاءِ وَأَهْلُهَا يَزْرَعُونَ مِنْ مَائِهَا ،

“Orang itu berkata: Ceritakan kepadaku mengenai kurma Baisan. Kami menjawab: Mengenai apa yang engkau mahu tahu? Makhluk itu berkata: Aku ingin bertanya kepada kamu adakah kurmanya berbuah? Kami menjawab kepadanya: Ya. Lalu dia berkata: Akan tetapi pohon kurma itu hampir tidak akan berbuah. Lalu dia berkata lagi: Ceritakan kepadaku tentang Tasek Thabariyyah. Kami pun bertanya: Mengenai apa yang ingin kau tahu? Makhluk itu bertanya: Adakah tasik itu masih berair. Mereka menjawab: Ya Tasik itu masih banyak airnya. Dia berkata: Sesungguhnya air tasik itu hampir habis. Dia berkata: Ceritakan kepadaku mengenai mata air Zughar. Mereka bertanya: Mengenai apa yang engkau mahu tahu? Dia bertanya: Adakah mata air itu masih memancarkan air? Adakah penduduknya masih bercucuk tanam dan mata air itu?. Kami menjawab: Ya. Ia masih berair dan penduduknya masih bercucuk tanam menggunakan airnya.”



(2)     Hadis ini juga menggambarkan mengenai kemarau, atau suasana kekeringan. Ia boleh dikaitkan dengan kesan pemanasan global yang semakin mendadak pada hari ini.

Lokasi-lokasi yang disebutkan iaitu mata air Zughar, kurma di Baisan dan Tasik Tabari terletak di sekitar Palestin, dan bersempadan dengan Syria dan Jordan.

(3)     Kalau di Greenland yang diceritakan tadi, pencairan antara 1976 hingga 2006 sebanyak 30 peratus. Masa depan Greenland bukan lagi tempat bersalji.

2050

(1)      Ada kajian menunjukkan sekiranya kesemua  ais kutub mencair, Afrika akan sepenuhnya bertukar menjadi padang pasir, manakala paras air laut meningkat 66 meter atau 216 kaki.

(2)     Ada kajian meramalkan 95 peratus Utara Jakarta akan tenggelam pada 2050. Setiap tahun, tanahnya akan mendap 10 inci. Manakala dalam tempoh 10 tahun sejak 2008, Jakarta sudah mendap 2.5 meter.

Mungkin inilah sebab mengapa ibu negara Indonesia sedang beralih ke Kalimantan Timur. Bahkan projek itu sudah pun berjalan pada hari ini.

(3)     Pada November 2019 Malaysia digemparkan dengan berita yang hampir sama, iaitu kajian oleh Nature Communication bahawa beberapa bandar utama bakal tenggelam pada 2050.

a-     Antara yang dihighlightkan ialah Alor Setar menjadi pulau, Parit Buntar hingga ke Taiping tidak kelihatan, Lebuhraya Utara-Selatan tenggelam.

b-     Bagan Datoh, Teluk Intan dan Kuala Selangor lenyap. Port Klang tenggelam, Shah Alam mengecil. Manakala KLIA di berada di persisiran pantai.

c-     Muar dan Pekan Pahang tenggelam. Kuala Terengganu dan Kuching Sarawak mengecil menjadi pulau-pulau. Perubahan skala besar bentuk muka bumi ini hakikatnya Allah sahaja yang tahu.

(4)     Hal yang sama bakal terjadi di Vietnam, Shanghai, Bangkok dan sebagainya yang turut dijangka terkesan dengan kenaikan paras air laut yang disebabkan pemanasan global.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 18/1/2020

- Advertisement -