Persaingan gas: Turkstream vs Eastmed

- Advertisement -

TURKSTREAM vs Eastmed

(1)     Tanpa sedar hari ini Gas Mediterranean telah menjadi persaingan. Seolah-olah kawasan itu sedang menjadi tumpuan untuk bersaing mengeksport gas.

Sumber bumi yang mengkayakan itu sudah pastinya menarik minat Blok Israel apatah lagi mereka ingin jayakan projek Israel Raya yang turut berada di kawasan Mediterranean.

(2)     Ada dua projek utama yang sedang bersaing, iaitu projek Turki-Rusia dan projek Mesir-Israel. Dalam masa yang sama Turki dilihat cuba masuk Libya untuk projek gas juga.

Turki yang merupakan salah satu negara Eropah memainkan peranan sebagai hab terbesar bekalan gas Russia ke dunia Eropah selama ini. Kelihatan mencabar Amerika.

(3)     Amerika antara kuasa yang menentang pembinaan saluran gas Turki-Russia itu. Ya, memang biasa perangai Amerika ialah pantang melihat persaingan.

Manakala Blok Israel berpakat dengan Greece dan Cyprus untuk laluan gas ke Eropah tanpa melalui Turki. Menyebabkan persaingan eksport gas berlaku.

(4)     Projek gas Turki-Russia dikenali sebagai Turkstream, manakala Israel- Greece-Cyprus-Itali dikenali sebagai Eastmed. Bermaksud Turkstream vs Eastmed.

Turki mendakwa projek Eastmed melalui kawasan kuasanya. Persaingan antara kedua-dua blok ini dari sudut pasaran gas dan peluang buat duit oleh kuasa-kuasa besar.

MGF ketepikan Turki

(1)     Antara yang terjadi pada 2018, Mesir telah menjadi tuan rumah pertemuan pengeluar-pengeluar gas di Mediterranean (MGF). Malangnya pertemuan itu tidak melibatkan Turki.

Seolah-olah ada Pakatan Blok Israel untuk berpakat dengan beberapa negara untuk membuat satu rundingan menguasai pengeluaran gas di sana.

(2)     Negara yang menyertai forum tersebut ialah Mesir, Israel, Cyprus, Greece, Jordan, Palestin dan Itali. Seolah-olah memboikot Turki yang sepatutnya paling berpengaruh dalam projek itu.

(3)     Pada 2015 Mesir telah menemui kawasan lapangan gas Zohr yang mempunyai potensi besar menjadi hab gas terbesar di Mediterranean.

Dalam tempoh ini, negara tersebut telah memajukan usaha tersebut dan di‘support’ oleh Israel. Antara yang terbaru Israel sudah mula mengeksport gas-gas mereka ke Mesir.

(4)     Hal ini menyebabkan pengaruh Turki-Russia tergugat apatah lagi Israel-Mesir sudah berpakat dengan negara-negara lain mengetepikan Turki dalam forum pengeluar gas Mediterranean tadi.

Seolah-olah Blok Israel sedang membina pengaruh untuk menguasai dan mendominasi pengeluaran gas dengan kelebihan yang ada pada Mesir.

Adakah persaingan terhenti setakat itu sahaja? Tidak juga. Era 2020 di’muqaddimah’kan dengan persaingan menguasai pasaran gas.

Potensi Libya

(1)     Libya mempunyai potensi yang besar untuk menjadi jaringan Turki-Russia. Namun yang kita saksikan selama ini, Libya merupakan negara bergolak.

Antara figure utama dalam pergolakan ini ialah Haftar yang menentang kerajaan yang diiktiraf. Hal Libya ini telah saya huraikan dalam artikel sebelum ini.

(2)     Turki dan Russia berpakat untuk wujudkan perdamaian di Libya yang bergolak tanpa henti sejak pembunuhan Ghaddafi ketika Arab Spring 2011.

Namun, perlu sedar bahawa negara yang digelar ‘false state’ itu mempunyai potensi yang besar, apatah lagi berada di seberang laut Mediterranean negara Turki.

(3)     Turki-Russia mempunyai pengaruh yang besar sekiranya berjaya berpakat dengan Libya. Justeru, mereka bertindak untuk mengendurkan ketegangan di situ.

Russia berperanan berunding dengan Haftar yang boleh dikatakan paling berpengaruh dalam konflik tersebut. Manakala Turki berunding dengan kerajaan yang diiktiraf.

(4)     Tujuannya ialah menyatukan kedua-dua pihak yang bertelagah, mencari jalan tengah untuk kepentingan bersama. Perlu tahu, Libya adalah medan pertembungan kuasa kuasa luar.

Antara kuasa luar yang terlibat dalam konflik Libya ialah Arab Saudi-UAE yang merupakan Blok Amerika-Israel. Bertembung dengan Turki-Qatar.

Team Israel vs musuh Israel

(1)     Usaha yang dilakukan oleh Turki-Russia ini jika berjalan lancar, bakal membina jaringan pengaruh yang kuat berhadapan dengan Blok Israel dan negara-negara pakatannya.

Kita sebagai seorang Muslim perlu memahami rentak persaingan kuasa besar sepertimana yang telah saya ulas dalam beberapa artikel lepas.

(2)    Antara klu yang pernah disebut oleh Erbakan, pimpinan gerakan Islam Turki ialah kalau nak lawan dengan Israel kena cari musuh-musuhnya.

Maka, percaturan mudahnya ialah, dengan melihat pergerakan negara-negara di seluruh dunia sama ada bersama Israel, atau menentang Israel.

(3)      Jangan terkesan dengan permainan sektarian mazhab. Contohnya, disebabkan Mesir itu adalah negara Sunni, maka orang-orang Sunni perlu bersama dengan pakatan Israel-Mesir. Ini adalah pendekatan yang sengal.

Walaupun Turki dipimpin oleh geng Moderate yang dibawa oleh AKP pimpinan Erdogan, kita perlu faham bahawa hari ini mereka berpakat dengan Kristian Ortodok (Russia) untuk melawan Israel.

Apatah lagi pakatan Sunni-Israel ini sudah subur sejak 2016, mungkin setelah penemuan lapangan gas Zohr di Mesir. Apa yang pasti, Mesir hari ni bersama Israel.

(4)     Israel pula melihat Mesir mempunyai potensi yang besar untuk dipersaingkan dengan Turki yang juga negara Islam. Bahkan strategi utama membangunkan Israel Raya adalah Mesir itu sendiri.

Israel Raya realiti atau mimpi

(1)     Jika lihat pada gambar yang diposting di bawah, kita akan faham laluan gas persaingan antara Turki-Russia (Turkstream) dan Mesir-Israel (Eastmed).

Jelas di situ sekiranya projek mengamankan Libya berjaya, maka Turki-Russia bakal memperoleh keuntungan yang besar. Sekiranya terus bergolak, maka pengaruh Turki-Russia di Eropah semakin kabur ditelan MGF.

(2)     MGF telah saya katakan tadi iaitu negara-negara pengeluar gas Mediterranean yang mengetepikan Turki. Maka, misi mengamankan Libya tidak mudah.

(3)     Dalam masa yang sama, sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi, tentang kerja-kerja Israel untuk membina Israel Raya semakin jelas kelihatan.

Kawasan perairan di tengah-tengah Israel-Lubnan-Cyprus merupakan ‘lubuk’ atau pusat gas bagi Israel. Kedudukan yang strategik, tetapi masih perlu berhati-hati dengan kerja Syria yang berpakat dengan Iran.

(4)      Walaupun demikian, kewujudan Israel Raya untuk dibangunkan pada 2020 ini semakin dilihat atas angin, walaupun strateginya jelas kelihatan.

Bukan laluan yang mudah bagi Israel untuk muncul sebagai Pax Judaica pada tahun ini. Apatah lagi semakin sukar berhadapan dengan penentangan Iran-Syria-Rusia.

(5)     Selain Iran, Rusia dalam hal ini agak bagus kerana semakin konsisten bertembung dengan Israel. Sekiranya benar, memang tidak pelik kalau Dajjal keluar pada tahun ini.

Iaitu setelah merasa marah projek proksi-proksinya tidak berjaya dan tidak lagi boleh diharap. Walau bagaimanapun semua itu kerja Allah S.W.T, kita sebagai Ummat Islam perlu celik dalam hal ini.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY17/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -