Musuh PAS hancur kerana tidak wala’

- Advertisement -

TAMBUN: Pertambahan keahlian ahli PAS yang direkod dari semasa ke semasa bukan memperjuangkan jumlah, tetapi lebih mementingkan kualiti dan kuantiti gerak kerja yang dapat dilihat melalui pertambahan keahlian diperolehi.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Sallehen Mukhyi berkata, ahli PAS yang berada dalam perjuangan Islam memiliki sekurang-kurangnya tiga nikmat antaranya nikmat beragama Islam dan berada dalam perjuangan Islam.

“Seterusnya, nikmat lain ialah nikmat menjadi penggerak, aktivis, pekerja dan petugas yang aktif dalam perjuangan Islam. Inilah nikmat yang sentiasa meletakkan jasad dan fikiran untuk fokus memenangkan Islam.

“Jika kita tidak berjuang, masa tetap akan berlalu dalam kehidupan. Jika kita tidak menjadi aktivis pun kita tetap akan menghadapi usia demi usia, semakin tua dan akhirnya mati. Maka lebih baik jika kita mati dalam keadaan aktif berjuang,” terang beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat menekankan, ahli PAS hendaklah memenuhi ciri-ciri pejuang digariskan Rasulullah S.A.W, iaitu amilin yang bangun menunaikan tahajud, selain memiliki sifat sabar, taat melaksanakan perintah Allah dan ikhlas menafkahkan harta pada perjuangan Islam.

“Saya melihat nikmat rakan-rakan yang terdahulu, yang bekerja dalam perjuangan. Terakhir baru-baru ini semasa berada di Madinah, saya merasakan satu kedengkian dan kecemburuan apabila menziarahi makam almarhum Ustaz Norazli Musa yang berada di perkuburan Baqi’.

“Dengan kisah ini, bukan bermakna mati di Tambun ini adalah tidak baik. Namun sudah tentu satu anugerah besar bila Allah takdirkan kita juga begitu,” terang beliau di ucapan Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan-cawangan Tambun, di sini baru-baru ini.

Serunya, ahli PAS hendaklah mencontohi peribadi Almarhum Ustaz Norazli Musa yang tidak mempunyai masa rehat, bahkan sentiasa meletakkan diri di dalam perjuangan dan mempunyai hubungan yang cukup hebat dengan Allah semasa hayatnya.

Ulasnya lanjut, berbaiah adalah dunia umat Islam yang beriman dan ia perlu bergerak selari dengan wala’ yang harus diberikan kepada perintah Allah, Rasul dan orang-orang beriman dalam kalangan pemimpin.

“Kita dalam PAS ada baiah. Baiah kita terikat dengan wala’ dan tsiqah terhadap pimpinan PAS. Selagi mana roh ada di dalam jiwa kita, darah mengalir dari saraf kita, selagi itulah kita perlu meletakkan (mematuhi) prinsip-prinsip ini,” tegas beliau.

Ustaz Sallehen turut menekankan ahli PAS supaya mengendahkan dan menepis sahaja mainan dan tipu daya musuh PAS yang memandang sinis pada kalimah wala’ yang menjadi salah sebuah prinsip perjuangan ahli PAS.

“Kamu (musuh PAS) memang tidak ada wala’ dalam perjuangan kamu. Maka percayalah kamu akan hancur dalam bila-bila masa sahaja,” selar Ustaz Sallehen. – HARAKAHDAILY 17/1/2020

- Advertisement -