Pemerintahan mesti dipandu pemimpin yang faham Islam

- Advertisement -

IPOH: Umat Islam perlu menerajui kuasa pemerintahan kerana ia amat penting dalam menegakkan hukum hakam yang telah digariskan oleh Allah sepertimana termaktub di dalam al-Quran.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Ameerah Negeri Perak, Nuradila Mohd Kamal berkata, seluruh masyarakat khususnya anak muda perlu melibatkan diri dalam politik kerana ia membawa impak besar terhadap negara.

“Bila sebut mengenai kuasa, Saidina Umar al-Khatab R.A berpesan, Allah menghalang sesuatu dengan menggunakan kuasa pemerintahan dan ia tidak boleh dihalang dengan kuasa al-Quran semata-mata.

“Kita baca al-Quran, dan dalam hadis ada sebut, arak adalah bala dan membawa kepada segala kejahatan dan kerosakan akal fikiran, oleh sebab itu Islam mengharamkan arak. Lama dah arak ni haram, namun jika tiada kuasa kita tak boleh nak halang arak ni terus berleluasa,” tegas Nuradila.

Tambahnya, pada era pemerintahan PH sejak memegang tampuk pimpinan negara pasca PRU14 lalu, kebobrokan yang berlaku hari demi hari pastinya membuka mata rakyat untuk menilai prestasi pemimpin PH.

Beliau yang juga Ketua Ameerah Tambun menyifatkan, tanpa tentangan hebat dan ketegasan dari pihak pembangkang khususnya PAS, pastinya kedudukan Melayu Islam di negara ini mudah diganggu gugat dan diperkotak katikkan.

“Di negara kita ini majoritinya adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Namun apa yang kita lihat pada kerajaan hari ini, mereka lebih takutkan DAP dari takutkan Allah terutamanya dalam menegakkan hukum-hukum Islam,” tempelak beliau. – HARAKAHDAILY 16/1/2020

- Advertisement -