Muslimat Selangor berkunjung hormat ke Jabatan Mufti

SHAH ALAM: Barisan kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor telah mengadakan kunjungan hormat kepada pihak Mufti Selangor di Pejabat Jabatan Mufti Selangor, di sini semalam.

Advertisement

Pertemuan dipimpin Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan ini telah disambut Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir bersama beberapa pegawai Jabatan.

Dalam kunjungan ini, Ustazah Wan Hasrina telah menyuarakan mengenai tanggungjawab dakwah yang turut dipikul pihaknya berkaitan perkara-perkara menggugat akidah umat Islam.

Antaranya isu-isu yang melibatkan ancaman pemikiran seperti Liberalisme dan Pluralisme, selain membincangkan penularan masalah LGBT, murtad, arak dan juga pengembangan Syiah.

Pihak Muslimat PAS Selangor turut mengajukan cadangan untuk pihak Jabatan Mufti menyediakan garis panduan untuk menyantuni masyarakat bukan-Islam dalam perayaan-perayaan kaum berkenaan.

Kedua pihak juga membayangkan untuk mengukuhkan peranan masing-masing dalam segala inisiatif dan usaha memartabatkan agenda Islam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 16/1/2020