Lantik Menteri Pendidikan segera

- Advertisement -

SANA sini orang ramai berteka-teki mengenai pengisi kekosongan jawatan penuh Menteri Pendidikan. Ia terus menjadi perbualan hangat terutamanya di kalangan warga pendidik di serata tempat.

- Advertisement -

Akhirnya teka-teki tentang siapakah yang akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan terjawab apabila kabinet secara konsensus telah bersetuju melantik YAB Tun sendiri memangku jawatan tersebut. Ia jelas kepada rakyat bahawa pemimpin PH yang ada tidak seorangpun yang berkemampuan untuk memimpin kementerian tersebut. PAS menghormati keputusan itu.

PAS berpendirian bahawa diantara perkara yang perlu diselesaikan segera pada waktu ini adalah pembentangan laporan kajian oleh Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) yang sepatutnya dibentangkan tanpa berlengah-lengah lagi kepada Menteri Pendidikan.

Selain itu, PAS juga berpandangan bahawa perlu ada mekanisme khusus tentang pembahagian autoriti pengurusan dan pentadbiran diantara institusi pengajian tinggi dengan Kementerian Pendidikan. Ini kerana, kedua-dua entiti tersebut merupakan induk yang cukup besar dan luas untuk ditadbir oleh seorang Menteri Pendidikan.

Ini tidak termasuk lagi hal-hal lain seperti isu tulisan seni khat jawi di sekolah vernakular, kertas soalan Hubungan Etnik di UniMAP, janji sarapan pagi percuma, desakan daripada pertubuhan pendidikan cina yang berbaur perkauman dan banyak lagi isu yang berlegar di sekitar Kementerian Pendidikan.

Justeru, PAS mendesak agar Perdana Menteri segera melantik menteri penuh bagi jawatan Menteri Pendidikan supaya halatuju pendidikan negara berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

Sekiranya, Kerajaan PH berkeyakinan bahawa sememangnya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir adalah batang tubuh yang berkemampuan dan layak untuk melaksanakan tugas, maka lantiklah beliau sebagai menteri penuh. Lagi pun YAB Tun bukanlah orang baru dalam hal pendidikan kerana beliau pernah menjawat jawatan Menteri Pelajaran pada tahun 1974-1977.

Berjawatan ‘pemangku’ sebenarnya tidak berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah kerana ia hanya sekadar umpama ‘pelapik sementara’; boleh diubah ke sana ke sini dan boleh luruh pada bila-bila masa.

DATO’ DR MOHAMED FADZLI DATO’ HASSAN
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
HARAKAHDAILY 16/1/2020

- Advertisement -