AGAK mengejutkan. Terpampang di halaman berita Dr Mahathir Mohamad sedia melepaskan jawatan bila-bila masa. Syaratnya keputusan itu dicapai Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Dengan kata lain ada konsensus. Dua akhbar Melayu harian seperti mengiyakan luahan perdana menteri itu. Sinar Harian memapar tajuk utama ‘Konsensus PH Tentu Penguduran Tun Mahathir’.
Manakala Berita Harian pula utamakan ‘Kes Ditutup’. Jabatan Peguam Negara dilapor menutup kes dakwaan perilaku tidak senonoh Anwar Ibrahim terhadap Muhammed Yusoff Rawther.
Yusoff bekas penyelidik PKR. Apabila Dr Mahathir sedia berundur lalu dibersihkan Anwar dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadap Yusoff. Mungkinkah ini satu perancangan media.
Tahun baharu kerap benar isu peralihan kuasa diulang-ulang. Kata orang kampung kemaruk benar.
Sebaliknya Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah dilapor menyebut tidak ditetap tarikh peralihan sebelum ini. Mungkin maksud Saifuddin, tarikh Mei 2020 sekadar digembar-gemburkan.
Tidak timbul sama sekali ujarnya. Isu peralihan kuasa timbul semula apabila didesak Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Bagi anak muda itu penetapan tarikh peralihan kuasa mencerminkan kesepakatan utuh PH. Betulkah begitu. Akmal pula tidak keseorangan dalam isu terbabit. Ada pemimpin PKR lain dan DAP mengimpikan perkara sama.
Pemimpin PKR Johor Hassan Abdul Karim dan bekas Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali juga mahu Dr Mahathir berundur.
Begitu juga pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dan DAP Selangor Ronnie Liu. Dr Boo Cheng juga mendesak perdana menteri meletak jawatan. Namun kenyataan Ronnie Liu lebih parah. Seperti dilapor media, PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa BERSATU.
Dalam situasi sekarang PKR dan DAP seperti sudah sepakat. Mereka bulat tekad mahu Dr Mahathir berundur segera. Tinggal sekarang PAN dan WARISAN. Pemimpin kedua-dua parti itu belum kelihatan ada kenyataan amaran terhadap Dr Mahathir. Biarpun PAN dikenali sebagai tongkat azimat DAP.
Ini bermakna konsensus untuk paksa Dr Mahthir berundur sekarang agregat 2-3. Hanya dua daripada lima sekawan yang paksa perdana menteri berundur segera. Kalau dijengok sifir demokrasi bermakna peralihan kuasa masih samar. Itu pun belum lagi diambil kira dalaman PKR juga ada team Dr Mahathir.
Antara yang konsisten Saifuddin. Sejak tahun lepas dia mempertahankan tiada tarikh tetap peralihan kuasa. Saifuddin dikenali rapat dengan Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin. PKR juga berpecah dua. Jadi sekarang hanya separuh PKR dan DAP yang mahu Dr Mahathir berundur.
Konsensus
Cuba tengok pula apa yang disebut Dr Mahathir dari kayu ukur sarjana Sains Politik. Kata mereka pendekatan perilaku dan tingkah laku politik terdapat dua kondisi.
Ia dikenali sebagai perilaku integratif dan perilaku disintegratif. Perilaku integratif lebih menekankan pentingnya konsensus atau kompromi. Sedangkan perilaku disintegratif cenderung menghasilkan konflik (Tommi Legowo, 1985).
Apa yang berlaku sekarang Dr Mahathir dilihat berminat perilaku disintegratif. Apa yang disebut konsensus tidak lebih sekali perilaku sebagai orang tua.
Maka kesimpulannya. Pertamanya pemegang jawatan seperti enggan berundur. Keduanya penunggu jawatan seperti bermimpi. Maka dalam dua keadaan itu, sisa hayat PH seakan mahu dipendekkan.
Dalam banyak keadaan pertembungan dalaman PH dibiarkan marak. Tidak mampu disekat lagi. Minggu lepas pemimpin yang mendakwa mahu meninggalkan dunia politik berkokok semula.
Rafizi Ramli menghantar amaran dari Singapura. Dia cuba melontar isyarat merah kepada Dr Mahathir. Seperti dilapor portal berita, tarikh persaraan Dr Mahathir akan ditetapkan Rafizi.
Ugutan itu dilontar sekiranya perdana menteri enggan memenuhi perjanjian peralihan kuasa awal tahun depan. Baginya rakyat Malaysia sudah hilang sabar. Sebaliknya kata ramai pemerhati politik, bukannya rakyat yang tidak sabar. Cuba tengok pula isyarat baharu dilontar Dr Mahathir. Katanya beliau ada idea untuk membaiki pendidikan negara.
“Saya baru jadi pemangku beberapa hari sahaja,” ujarnya seperti dilapor media. Apakah segala kronologi itu memperlihatkan Dr Mahathir mahu berundur. Ramai melihat tidak.- HARAKAHDAILY 15/1/2020