Kebangkitan ummat Islam: Satu gagasan

- Advertisement -

BUKU Kebangkitan ummat Islam: Satu gagasan adalah sebuah karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang berasal dari sebuah ucapan beliau dalam satu majlis sempena Sambutan Abad Ke-15 Hijriyah yang diadakan pada 1 Muharram 1400H (1980) di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu. Ucapan bersemangat beliau telah ditranskrip dan diterbitkan sebagai buku pada 1982. Buku ini membincangkan mengenai ketibaan abad ke-15 Hijriyah yang dianggap abad kebangkitan Islam. Dengan latar belakang umat Islam yang ketinggalan dan tertindas selepas kejatuhan khalifah pada 1924, umat Islam diseru untuk bangkit semula menegakkan Islam. Mengambil ibrah daripada perjuangan Rasulullah S.A.W di Makkah yang tertindas dan difitnah, akhirnya hijrah menjadi titik bagi kebangkitan umat Islam sehingga dapat membina daulah.

Penulis menegaskan bahawa kebangkitan Islam adalah bermula dengan taifah-taifah, kemudian membentuk jamaah, sebelum bangkit membina sebuah daulah. Bagi mencapai kejayaan ini, umat Islam mesti meninggalkan semua taghut sebagaimana para Sahabat meninggalkan jahiliyah, termasuk menolak seluruh godaan keduniaan. Umat Islam mesti sedar bahawa perjuangan Islam dipenuhi oleh fitnah dan tuduhan liar, untuk mematangkannya. Sedangkan Allah memerintah supaya orang beriman sentiasa menentang kemungkaran dan tidak boleh kompromi dengan maksiat. Dalam konteks abad baru ini, umat Islam akan berhadapan dengan serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh Islam. Maka dalam mencapai kejayaan untuk menegakkan Islam, umat Islam perlu berhijrah meninggalkan keburukan kepada kebaikan, supaya akhirnya dapat ditegakkan negara Islam.

Maklumat buku:

Nama buku: Kebangkitan ummat Islam: Satu gagasan
Penerbit: Media Islam, Kuala Lumpur
Tahun terbit: 1402H /1982M
ISBN: Tiada
Kulit: Lembut
Muka surat: 51 ms
Saiz: 21 cm x 14 cm
Status: Langka (nadir)
Sumber untuk rujukan: Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
18 Jamadil Awal 1441
15 Januari 2020 – *HARAKAHDAILY 15/1/2020*

- Advertisement -
- Advertisement -