Abdullah al-Qumairi: Penyebar Islam di Kedah

- Advertisement -

GERAKAN dakwah dan penyebaran Islam di Alam Melayu telah berlaku lebih pesat selepas hampir 300 tahun berdirinya Kerajaan Islam Perlak, di Pantai Timur Aceh. Semenjak kedatangan para ulamak dan pendakwah yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah pada awal 800M, mereka bukan sahaja berjaya menubuhkan Kerajaan Islam yang pertama, tetapi dapat membuka pusat-pusat pengajian seperti Dayah Ce Berek di Perlak dan mendorong kedatangan para pendakwah ke negeri sebelah Timur. Di Tanah Melayu, ulamak terawal dikatakan bergiat ialah Sheikh Abdul Qadir Ibnu Hussein Syah Alirah sekitar akhir abad kesembilan Masihi, di mana kuburnya bertarikh 291H / 903M. Memasuki abad ke-12M, dicatatkan berlaku kedatangan para pendakwah dalam skala yang besar ke Nusantara termasuk kedatangan Sheikh Abdul Qadir al-Jailani (m. 1166M) ke Aceh dan Kedah ketika itu. Antara pendakwah yang masyhur termasuklah Sheikh Abdullah Arif dan Sheikh Abdullah al-Qumairi, tokoh yang dibicarakan ini.

Islam sebenarnya telah direkodkan datang ke Kedah sejak awal abad kesembilan Masihi kerana hubungan perdagangan yang lama antara Kedah dan Arab. Tetapi, kedatangan para pedagang Arab dan Parsi ternyata belum memberi kesan yang meluas terhadap proses peng-Islaman Kedah, lebih-lebih lagi kerana Raja Kedah belum menerima agama Islam. Orang Melayu terkenal dengan ketaatan mereka kepada Raja, dan mengikut agama Raja mereka. Keadaan ini menyebabkan proses dakwah sukar untuk berkembang, sehingga mereka dapat menembusi Istana Kedah. Kedatangan Sheikh Abdullah al-Qumairi telah mengubah sejarah Kedah apabila beliau berjaya mempengaruhi Raja Kedah, Maharaja Derbar Raja (atau Raja Phra Ong Mahawangsa) untuk menerima Islam, sehingga Kedah akhirnya bertukar menjadi sebuah Kerajaan Islam sejak 1136M.

Sejak abad ke-11M, Kedah mengalami keadaan politik yang tidak stabil kerana pertembungan kuasa-kuasa politik ketika itu. Kedah direkodkan pernah diserang oleh Kerajaan Chola dari India pada 1025M dan diserang oleh Mahapahit pada 1345M. Dalam tempoh antara dua serangan kuasa Hindu inilah, Kedah telah bertukar menjadi sebuah Kerajaan Islam, mengiringi Kerajaan Islam Perlak yang wujud sejak 840M. Peng-Islam Kedah ini dicatatkan sebagai hasil gerakan dakwah oleh Sheikh Abdullah al-Qumairi bersama 11 pendakwah lain yang datang dari Yaman untuk menyebarkan Islam.

Siapakah Sheikh Abdullah al-Qumairi?

Ramai pengkaji, termasuk Prof Mahayudin Yahya mengatakan Sheikh Abdullah al-Qumairi yang disebut dalam at-Tarikh Salasilah Negeri Kedah adalah orang yang sama dengan Sheikh Abdullah Arif, penulis Bahr al-Lahut yang terkenal itu. Pendapat ini ditolak oleh Wan Mohd Saghir Abdullah, kerana kedua-dua tokoh ini bergiat di tempat berbeza iaitu Sheikh Abdullah al-Qumairi di Kedah, manakala sheikh yang seorang lagi di Aceh. Bahkan, menurut Wan Mohd Saghir, Sheikh Abdullah al-Qumairi yang tiba di Kedah pada 531H (1136M) adalah lebih awal daripada kedatangan Sheikh Abdullah Arif ke Aceh pada 560H (1165M). Ini menunjukkan bahawa kedua-dua tokoh ini adalah orang yang berbeza, tetapi mempunyai nama yang hampir sama.

Sheikh Abdullah al-Qumairi dikatakan mempunyai nama lengkap sebagai Sheikh Abdullah bin Sheikh Ahmad bin Sheikh Jaafar al-Qumairi dan berasal dari negeri Syahir, Yaman. Tidak diketahui dengan jelas tentang tarikh lahirnya. Hikayat Merong Mahawangsa hanya mencatatkan namanya sebagai Sheikh Abdullah ‘anak negeri Yamani,’ sedangkan at-Tarikh Salasilah menyebut secara terperinci nama beliau seperti yang tersebut di atas. Beliau dikatakan sebagai seorang ulamak yang berasal dari Yaman. Beliau datang ke Kedah pada 1136M bersama dengan 11 orang sahabatnya untuk menyebarkan Islam.

Beliau direkodkan telah tiba di Kedah 29 tahun lebih awal daripada ketibaan Sheikh Abdullah Arif di Aceh. Selepas berjaya meng-Islamkan Raja Kedah, beliau tinggal di Kedah sehingga wafatnya, iaitu masih dalam zaman pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah (m. 1180M). Wan Mohd Saghir hanya mencatatkan “Sheikh Abdullah al-Qumairi wafat barangkali tidak berapa lama setelah ketibaannya di Kedah itu.” Beliau dimaqamkan di Gunung Jerai dan kuburnya dikatakan beberapa kali dikunjungi oleh Sheikh Abdul Qadir al-Jailani (m. 1166M).

Dakwah Sheikh Abdullah al-Qumairi

At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah telah mencatatkan bahawa sebaik sahaja beliau tiba di Kedah pada 531H, beliau terus ‘masuk mengadap Seri Paduka Maharaja Derbar Raja, menzahirkan di atas hukuman agama Islam,’ yang membuatkan Raja itu pun memeluk Islam bersama para Menterinya. Semenjak itulah, Sheikh Abdullah al-Qumairi menjadi penasihat kepada Sultan Mudzaffar Shah. Beliau ‘memberi nasihat di atas jalan agama Islam kepada Seri Paduka Maharaja Derbar Raja dan kepada segala Menteri-menterinya.’ Dalam tempoh lima tahun, maka Islam pun diterima dengan baik dalam pentadbiran Kerajaan Kedah.

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Sheikh Abdullah al-Qumairi telah memberi nama Islam, Sultan Mudzaffar Shah kepada Raja Kedah supaya namanya dapat disebut di mimbar Jumaat dan memudahkan hubungan dengan negeri-negeri Islam yang lain. Beliau disebutkan oleh at-Tarikh Salasilah sebagai telah memberikan gelaran ‘Zillullah fi al-Alam’ kepada Sultan Mudzaffar Shah dan memberi gelar ‘Darul Aman’ kepada negeri Kedah. Untuk memuliakan hari Jumaat, beliau telah meminta perkenan Sultan Kedah supaya dipukul ‘Naubat Nafiri’, sejenis gendang besar untuk memberitahu ketibaan hari Jumaat, selain dipalu pada setiap masuknya waktu solat fardu.

Setelah itu, beliau turut menasihatkan Sultan Kedah supaya mendirikan masjid-masjid dan menara-menara azan untuk meluaskan syiar Islam melalui sebutan nama Allah dan Rasul-Nya. Menara yang pertama dibangunkan ialah di atas Gunung Jerai. Sheikh Abdullah sendiri yang melakarkan pelannya, kemudian tukang-tukang dibawa ke Gunung Jerai bersama batu-bata untuk membinanya di bawah pengawasan Sheikh Abdullah. Ketika pembinaan menara ini hampir siap, Sheikh Abdullah al-Qumairi pun jatuh sakit, kemudian meninggal dunia beberapa ketika kemudian. Beliau dimaqam di kawasan padang dekat Gunung Jerai itu yang kini disebut sebagai Padang Tok Sheikh. Mungkin kematian ini berlaku sekitar enam atau tujuh tahun selepas ketibaannya di Kedah (sekitar 1142M).

Kematian Sheikh Abdullah al-Qumairi tidak melenyapkan dakwah Islam di Kedah. Sebaliknya, kejayaan beliau meng-Islamkan Raja Kedah dan meletakkan asas pentadbiran Islam di negeri itu telah menyebabkan Islam mulai berkembang pesat. Langkah-langkah beliau mendirikan masjid, kemudiannya menjadi pusat ibadat dan pengajian agama, dibantu oleh para ulamak dari Samudera-Pasai. Hikayat Raja-raja Pasai menyebutkan bahawa pada abad ke-14M, Sultan Kedah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan Samudera-Pasai, sehingga Islam dapat berkembang pesat. Pada akhir abad ke-15M, Sultan Kedah telah diberikan ‘nobat’ oleh Sultan Mahmud Shah dari Melaka sebagai menandakan Sultan Kedah diberikan daulat sebagai sebuah Kerajaan Islam.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
18 Jamadil Awal 1441 / 15 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 15/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -