Pendirian G25 mengelirukan, tersasar

- Advertisement -

PENDIRIAN kumpulan G25 melalui laporan “Administration of Matters Pertaining to Islam” jelas mengelirukan masyarakat tentang syariat Islam di samping dapat dilihat adanya unsur berniat jahat terhadap agama Islam itu sendiri.

- Advertisement -

Beberapa pertikaian yang dikemukakan terhadap isu-isu kontroversi termasuklah hukuman hudud, akta 355, jenayah murtad dan institusi-institusi berkaitan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan pandangan mereka tidak berada pada rangka asas kefahaman ketatanegaraan yang sepatutnya.

Sangat mendukacitakan apabila di bahagian awal laporan berkenaan telah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah “dokumen perundangan bersifat sekular”. Malah, ia juga disebutkan bahawa “undang-undang negara digubal, dilaksana dan diterjemah oleh tiga badan sekular” iaitu Parlimen, Yang DiPertuan Agung dan Mahkamah.

Perkara ini menjelaskan bahawa kerangka negara yang terpesong telah difahami kumpulan G25 dengan pelbagai kontroversi yang dibangkitkan selama ini. Ironinya mereka terus bebas menyuarakan pandangan yang serong sehingga mengelirukan masyarakat teramai.

Jarum suntikan sekularisme ini seterusnya akan mengikis paksi agama Islam dalam negara seterusnya mereka akan terdorong untuk meruntuhkan perkara-perkara berkaitan syariat dan institusi-institusi agama. Justeru, pandangan skeptikal, bias dan menyeleweng tidak menghairankan dihalakan terhadap hukuman jenayah syariat termasuklah berkaitan Akta 355, murtad, JAKIM dan sebagainya.

Saya mengharapkan agar pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya terhadap kumpulan seperti ini. Malangnya kebebasan bersuara seringkali ditafsir dengan bebas berkata apa sahaja meskipun pendirian yang keluar tersebut terpesong daripada wacananya yang sebenarnya.

Kerajaan diharap tegas mempertahankan syariat Islam termasuklah memelihara institusinya seperti JAKIM dan Majlis Raja-raja agar terus berperanan melindungi agama Islam di negara ini.

Sekian.

“Islam Memimpin Perubahan”

DATO’ HJ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
14 Januari 2020 bersamaan 19 Jamadil Awwal 1441H – HARAKAHDAILY 14/1/20202

- Advertisement -