Pemuda PAS siap siaga perubahan politik negara

- Advertisement -

KEMAMAN: Pemuda PAS sedang bersiapsiaga menghadapi segala perkembangan politik semasa yang dilihat kemungkinan berlakunya perubahan besar, termasuk di peringkat struktur pentadbiran negara.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pemuda PAS memikul persediaan itu dari penghayatan peristiwa Perang Mu’tah dan pembukaan Konstatinopel yang kedua-duanya berlaku pada bulan Jamadil Awwal.

Jelasnya, Perang Mu’tah telah mengiktibarkan persiapan futuristik Baginda Rasulullah S.A.W yang menamakan tiga Sahabat R.A untuk menjadi peneraju silih berganti kepada kepimpinan di dalam misi besar tersebut.

Begitu juga kupasnya, perancangan luar biasa yang dilaksanakan pasukan tentera di bawah kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh hingga membuahkan kejayaan membuka Kota Konstatinopel.

Perkara tersebut diperteguhkan lagi penjelasannya oleh beliau kepada Exco Pemuda PAS Malaysia dalam permukiman khas yang diadakan di Darul Iman Training Centre, di sini kelmarin.

Pun begitu peringat beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, setiap Pemuda mestilah tidak merasa selesa, tetapi sentiasa meletakkan diri untuk bersiap dan juga melaksanakan komitmen secara luar biasa.

“Terutama dalam meletakkan pergantungan diri kepada Allah S.W.T. Pengalaman saya bersama Almarhum Tuan Guru (Dato’) Nik Aziz (Nik Mat), kadang-kadang ada situasi mencemaskan.

“Kita risau ia menyebabkan masalah besar kepada Kelantan akibat muslihat musuh atau pihak media. Tapi Almarhum Tuan Guru kita Allah jaga, kerana kuatnya hubungan beliau dengan Allah S.W.T.

“Begitu juga Tuan Guru Presiden (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) kita, apa yang musuh tak buat pada dia. Bahkan hingga dari dalaman sendiri ketika bersama sahabat-sahabat kita yang telah keluar ke PAN dahulu.

“Tapi Allah menjaga beliau dan jamaah ini kerana hubungannya dengan Allah. Jadi kita, datanglah perancang nombor satu hebat sekalipun, paling besar kita kena letak adalah hubungan dengan Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2020

- Advertisement -