‘PAS Pilihanku’ lonjak pendaftaran ahli baharu

- Advertisement -

DALAM tempoh 5 tahun terakhir ini, pendaftaran ahli baharu PAS telah menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.

- Advertisement -

Tahun lalu, PAS telah berjaya mendaftarkan seramai 45,344 orang ahli baharu dan ia adalah satu pencapaian yang sangat baik kepada PAS lebih-lebih lagi tatkala lawan PAS sentiasa berusaha untuk melemahkan PAS.
 
Dalam tempoh tersebut seramai 167,404 orang ahli baharu telah berjaya didaftarkan dengan Negeri Kelantan terus mendahului pencapaian terbaik dengan pendaftaran seramai 38,655 orang diikuti dengan negeri Terengganu iaitu seramai 27,600 orang, negeri Selangor (21,662 orang) dan negeri Kedah(20,339 orang).
 
Apa yang lebih membanggakan, pendaftaran keahlian baharu di kalangan anak muda juga menunjukkan prestasi yang tinggi.

Dalam tempoh 5 tahun terakhir, golongan anak muda yang menyertai PAS adalah seramai 108,686 orang (63.7 peratus). Tahun lalu, seramai 29,544 orang ahli baharu adalah di kalangan anak muda iaitu mewakili 62.6 peratus daripada pendaftaran keahlian PAS .
 
Keseriusan PAS untuk menambahkan ahli baharu telah dimulakan pada tahun 2016 apabila PAS Pusat telah bersetuju melancarkan kempen PAS PILIHANKU dan melantik Dato’ Iskandar bin Abdul Samad, Naib Presiden PAS sebagai Pengarah kempen ini.

Kempen ini telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada 21 Januari 2017 di Shah Alam dan ianya dilaksanakan selama empat bulan, bermula dari 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.
 
Beberapa kategori anugerah telah diperuntukan iaitu Anugerah bulanan untuk PAS Kawasan dengan bilangan penambahan ahli yang teramai, Anugerah keseluruhan kepada PAS Kawasan dengan bilangan penambahan ahli yang teramai dan Anugerah keseluruhan kepada PAS Kawasan dengan peratusan penambahan ahli yang teramai.

Kempen ini telah menunjukkan kejayaan apabila seramai 41,953 orang telah berjaya didaftarkan sebagai ahli baharu pada tahun itu.
 
PAS terus mengorak langkah dengan melancarkan KEMPEN PAS PILIHANKU 2.0 pada 31 Disember 2017 di Pejabat Agung PAS oleh Presiden PAS dan kempen ini bermula pada 1 Januari 2018 sehingga ke Muktamar 2018. 

Kempen kali kedua ini menawarkan enam insentif kepada seluruh kawasan di seluruh Malaysia iaitu  penambahan bilangan ahli teramai, penambahan peratusan ahli teramai, penambahan bilangan ahli bawah umur 35 tahun teramai, penambahan bilangan ahli Muslimat teramai dan penambahan bilangan ahli DHPP teramai.
 
Tahun lalu, bersempena dengan Muktamar PAS Pusat kali yang ke 65 di Indera Mahkota, Pahang, PAS Pusat telah bersetuju untuk memberikan insentif kepada PAS Negeri yang berjaya mendaftarkan ahli baharu mengikut pemenang bulanan dan setiap kawasan yang menang diberikan insentif sebanyak RM 1,000.00

Kejayaan ini juga adalah hasil daripada pemantauan dan tindakan susulan yang berterusan daripada Pejabat Setiausaha Agung PAS yang melaksanakan beberapa tindakan untuk memudahkan lagi proses pendaftaran keahlian seperti mewujudkan sistem pendaftaran secara terus atau online bagi Ahli Sekaligus, menaiktaraf sistem ‘key in’ data ahli baharu dan menganalisa statistik pendaftaran ahli baharu pada setiap bulan.

Kempen PAS PILIHANKU akan diteruskan pada tahun 2020 di bawah Lajnah Keahlian PAS yang dipengerusikan oleh Dato’ Takiyuddin bin Hassan, Setiausaha Agung PAS. Pencapaian tahun lalu akan dijadikan kayu ukur untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi pencapaian pada tahun ini.

 
 
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Penolong Setiausaha Agung PAS – HARAKAHDAILY 14/1/2020

- Advertisement -