Tiada baling kerusi atau bertumbuk, tapi usrah

- Advertisement -

TAMBUN: Pendukung gerak kerja dakwah merupakan aset penting kepada gerakan jemaah Islam dan ia merupakan penglibatan yang tidak memerlukan syarat asas seperti berharta, ahli perniagaan atau sebagai seorang terkenal.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Tambun, Ustaz Abidi Abdul Maznan berkata, kekuatan dakwah terletak pada jati diri dan hati bersih para pendakwah di mana kualiti seorang pendakwah itu dapat diperkasa melalui usrah.

“Kalau kita lihat dengan baik, pak ustaz tidak berharta pun tetap nak tubuhkan pondok, tetap nak satukan hati jemaah Islam. Kerana itulah PAS tidak bergerak semata-mata hanya demi politik kepimpinan tetapi turut berdakwah.

“Dalam memahami rangka dakwah, setiap ahli PAS mestilah sentiasa berkembang dan tidak boleh tertumpu pada suatu kelompok sahaja. Usrah adalah satu lapangan yang amat digeruni musuh Islam kerana padanya ada kekuatan perkenalan, persefahaman serta saling membantu.

“Melalui pemerkasaan inilah As-Syahid Imam Hassan Al-Banna sentiasa digeruni musuh. Usrah ini tidak lain, tidak bukan adalah sebagai satu usaha kepada perkembangan dakwah yang menjadi rutin kerap program PAS dalam usaha memperkasakan dakwah melalui medan politik ini,” tegasnya.

Ketika ditemuramah HarakahDaily, Ustaz Abidi menyatakan, usrah yang dijayakan oleh seluruh ahli PAS hari ini telah menjadikan PAS jauh berbeza dengan parti musuh, baik dari segi tindakan termasuk idea diketengahkan.

Ustaz Abidi turut mengulas bahawa setakat ini, segala program yang PAS anjurkan dipelbagai peringkat khususnya di Tambun ini berlangsung dengan penuh hikmah dan segalanya selesai dengan perbincangan.

“Usrah yang dilangsungkan di kalangan ahli PAS mendidik bahawa suatu masalah itu akan selesai melalui perbincangan, bukannya dengan membaling kerusi dan bertumbuk,” selorohnya terhadap peristiwa pergaduhan yang berlaku semasa Konvensyen PKR di Melaka bulan lalu.

Terangnya, usrah Pemuda PAS Tambun telah diadakan selari setiap Kawasan dalam negeri Perak iaitu pada setiap hari Khamis minggu kedua setiap bulan, digerakkan mengikut pecahan Zon di Tambun iaitu Manjoi, Meru, Klebang, Chemor, Perpaduan dan Tanjung Rambutan. – HARAKAHDAILY 13/1/2020

- Advertisement -