Sabar dan redha bekalan perjuangan dakwah

- Advertisement -

SEPANJANG berada dalam perjuangan ini dah macam-macam perkara yang saya lalui. Dicaci, dihina, difitnah, dicantas, disisih, dipulau, dipenjara dan macam-macam. Namun saya nak berpesan kepada adik-adik dan Abna’ul Harakah sekalian. Kalau kita nak tenang menghadapi itu semua, dua perkara mesti kita miliki. Yang pertama sabar dan yang kedua redha dan tawakal dengan qadak Allah.

Pengalaman yang saya lalui akhirnya orang yang mencaci dan memaki itu mereka pula dimaki. Yang memfitnah itu pula bergelut dengan fitnah. Yang mencantas itu pula kemudiannya dicantas. Yang memulau itu pula yang dipulau dan disisih. Sedangkan saya masih begini dan di sini.

Pengalaman adalah khazanah ilmu yang sangat berharga. Ilmu yang tidak didapati di dalam Manhajul Abidin, Hikam atau Kasful Asrar. Kerana pengalaman adalah sebuah ilmu yang datang bersama keyakinan. Keyakinan akan menjadikan kita semakin teguh dan kukuh.

Yakinlah wahai adik-adik dan anak-anak. Kita tidak mulia kerana dipuji dan tidak akan hina kerana dikeji oleh sesiapa. Bahkan kita akan mulia jika Allah mahu menjadikan kita mulia walaupun seluruh manusia mengeji kita. Manakala kita tetap akan hina jika Allah mahu kita menjadi hina walau seluruh alam memuji kita.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -