ADUN S’gor ditangkap: Tunggu hasil siasatan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyarankan semua pihak untuk menunggu pengesahan hasil siasatan lengkap oleh pihak berkuasa sebelum mengeluarkan sebarang respons yang boleh menimbulkan pelbagai polemik berikutan isu penangkapan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang ditangkap polis selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan di pusat hiburan sekitar Damansara, Petaling Jaya, awal pagi Isnin.

DPPNS berpegang teguh dengan prinsip pendakwaan dan pensabitan dalam Islam iaitu seseorang yang tertuduh belum lagi dikira bersalah sehingga ia diberjaya dibuktikan bersalah. Ia menepati sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W yang berbunyi:

- Advertisement -


لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، لَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ”

“Sekiranya manusia diberikan dengan (dibenarkan semata-mata) dakwaan mereka, nescaya akan mendakwa (semata-mata) seseorang lelaki itu akan (tuntutan) harta sesuatu kaum dan darah (nyawa) mereka. Akan tetapi bukti (dibebankan) ke atas pihak yang mendakwa manakala sumpah (dibebankan) ke atas mereka yang mengingkari (menafikan)”

(Riwayat al-Baihaqi)



Berhubung isu yang tular tersebut, DPPNS turut memberikan peringatan tegas kepada semua ahli politik bahawa bebanan amanah dan tanggungjawab yang dipikul bukanlah untuk disalahgunakan dalam apa jua konteks dan keadaan. Ia merupakan amanah yang akan diperhitungkan di hari akhirat. Kerosakan akan berlaku apabila mereka yang diberikan amanah tidak melaksanakannya dengan baik.

Rasulullah S.A.W bersabda:



إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة

“Apabila hilangnya amanah maka nantikanlah kehancuran”

(Riwayat al-Bukhari)



Rakyat memilih seseorang wakil rakyat bagi tujuan membawa kebaikan dan memperbaik pulih keadaan yang kurang pada sebelum ini. Maka, berita yang tular pada hari ini sedikit sebanyak mengguris hati rakyat yang meletakkan harapan pada wakil yang mereka berikan mandat.

DPPNS juga menggesa semua ahli politik untuk terus berusaha mempergiatkan gerak kerja yang membela nasib rakyat dan membangunkan negeri ini untuk lebih maju ke hadapan. Kredibiliti seorang pimpinan tidak hanya pada konteks luaran dari sudut kemahiran berfikir, merancang dan memimpin pasukan namun dalam masa yang sama pemimpin tidak kira sama ada pihak kerajaan atau bukan kerajaan mestilah memiliki akhlak yang baik lagi terpuji.

Firman Allah S.W.T:



وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

“(Sifat orang beriman yang berjaya ialah) dan mereka yang memelihara amanah dan janji mereka)”

(al-Mukminun: 8)



DPPNS mengharapkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan hasil siasatan lengkap dengan baik dan telus tanpa ada gangguan mana-mana pihak agar kes yang berlaku diadili dengan sebaik mungkin. Apa sahaja keputusannya kita akan lihat dan bersiap sedia sekalipun jika berlaku PRK pada masa akan datang kelak.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 13/1/2020

- Advertisement -