Kebebasan beragama bukan tiket untuk murtad

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Kesalahan jenayah murtad termasuk dalam kategori hukuman jenayah dalam Islam yang dijatuhkan hukuman hudud. Hukuman hudud ke atas orang murtad menjadi isu yang besar apabila manusia yang tidak memahami Islam dengan baik membangkitkan soal kebebasan dalam beragama merupakan hak asasi manusia.

Apatah lagi apabila hukuman hudud yang melibatkan jiwa atau nyawa menjadikan dakwaan ke atas agama Islam merupakan agama yang melakukan paksaan dan kekerasan dengan hukuman yang dikenakan ke atas orang yang murtad.

Bahkan jenayah murtad ini jelas telah melanggar 5 perkara asas yang merupakan dharuriyat iaitu penjagaan ke atas agama. Hukuman hudud yang ditetapkan oleh Allah mempunyai objektif yang jelas yang melibatkan 5 perkara asas ini.

Maka menjadi kewajipan kita mengimani apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan berusaha memahami hikmah di sebalik perundangan yang ditetapkan itu agar mampu memberikan pencerahan kepada manusia terhadap keraguan yang timbul.

Persoalan polemik dalam kebebasan beragama

Perkara pertama yang perlu dijelaskan ialah berkaitan soal kebebasan beragama. Hal ini demikian kerana orang yang murtad ialah orang yang percaya akan keperluan manusia kepada agama dalam kehidupan.

Namun atas keterbatasan ilmu dan keyakinan yang goyah menjadikan seseorang tersebut meragui akan Islam dan mencari agama yang lain selari dengan keinginan hawa nafsu.

Taisir Baiyudh al-Tamimi menyatakan kebebasan beragama merupakan salah satu daripada hak asasi manusia disebabkan itu mana-mana pihak tidak boleh melakukan paksaan ke atas seseorang untuk menganuti agama selain apa yang ia rela dan berkehendak.

Namun begitu apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bergama? Adakah ia merupakan ruang untuk manusia menguji setiap agama yang dianuti tanpa sempadan dan batasan? Bagaimanakah Islam meraikan kebebasan beragama ini dalam masa yang sama melarang dengan tegas akan jenayah murtad?

Kebebasan beragama dari perspektif Islam

Kebebasan beragama dalam kehidupan adalah diraikan oleh Islam. Bahkan Islam tidak menerima sebarang bentuk paksaan yang dilakukan ke atas manusia untuk manusia menganuti agama Islam.

Dengan erti kata lain, paksaan ke atas non-Muslim untuk mereka memeluk Islam merupakan satu tindakan yang salah. Hal ini jelas berdasarkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah berkaitan dengan kebebasan beragama yang dirai oleh Islam.

Ditambah lagi bahawa peranan para Rasul dan mereka yang membawa seruan dakwah adalah menyampaikan kebenaran agar manusia mampu berfikir dan menilainya namun bukan dengan cara paksaan.

Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -



وَمَا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِینُ

“Tidaklah menjadi kewajipan ke atas Rasul melainkan menyampaikan apa yang nyata (kebenaran)”

(al-Nur: 54)



Begitu dengan firman Allah S.W.T:



فَإِنۡ حَاۤجُّوكَ فَقُلۡ أَسۡلَمۡتُ وَجۡهِیَ لِلَّهِ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِۗ وَقُل لِّلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡأُمِّیِّـۧنَ ءَأَسۡلَمۡتُمۡۚ فَإِنۡ أَسۡلَمُوا۟ فَقَدِ ٱهۡتَدَوا۟ۖ وَّإِن تَوَلَّوۡا۟ فَإِنَّمَا عَلَیۡكَ ٱلۡبَلَـٰغُۗ وَٱللَّهُ بَصِیرُۢ بِٱلۡعِبَادِ

“Maka sekiranya mereka berhujah akan kamu maka katakanlah kepada mereka bahawa: Aku menyerah diri kepada Allah dan begitu juga orang yang mengikutiku. Dan katakanlah kepada orang yang diberikan al-Kitab dan golongan yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis): adakah kamu menyerah diri (memeluk Islam)? Maka sekiranya mereka memeluk Islam seseunggahnya mereka telah mendapat hidayah namun sekiranya mereka berpaling (enggan) maka kewajipan ke atas kamu hanya menyampaikan yang nyata (kebenaran).”

(Ali Imran: 20)



Ini merupakan peranan ke atas para Rasul dan umat Islam dalam menyampaikan kebenaran kepada manusia. Peranan ini menjadi hujah bahawa paksaan tidak diterima dalam Islam.

Hal ini berdasarkan kepada ayat ke-256 dalam Surah al-Baqarah berkenaan tidak ada paksaan dalam Islam adalah merujuk kepada paksaan memeluk Islam sebagaimana merujuk kepada penafsiran para ulamak berkenaan ayat tersebut.

Sehubungan itu, non-Muslim bebas menganut apa yang mereka sedang anuti serta mengamalkan apa yang dipercayainya seperti merayakan hari kebesaran mereka, melaksanakan ibadah mereka dan sebagainya.

Inilah kebebasan agama dari sudut perspektif Islam. Non-Muslim diberikan ruang dalam konteks keagamaan mereka mengikut apa yang mereka anuti. Paksaan ke atas mereka menjadikan manusia hidup dalam keadaan dijajah dan memberikan imej yang buruk ke atas Islam.

Sebabkan itulah, kebebasan agama ini dirai oleh Islam bagi membolehkan non-Muslim berfikir dan menilai akan maklumat dan informasi yang mereka terima. Paksaan menjadikan manusia tidak menggunakan akal dalam menilai dan akhirnya menjadikan manusia yang pasif iaitu menurut secara buta tuli tanpa memahami akan kehendak kebenaran yang sebenar menurut Islam.

Kebebasan agama tidak menafikan kebenaran hanya pada Islam

Sehubungan itu, toleransi dalam kebebasan beragama tidaklah sampai mencakupi konteks akidah apatah lagi membenarkan setiap ajaran selain Islam.

Hal ini demikian kerana kebenaran hanyalah satu tanpa ada yang lain. Memperakui terdapat kebenaran selain apa yang dibawa oleh Islam menjadikan secara tidak langsung ternafinya kebenaran mutlak yang dibawa oleh Islam.

Disebabkan itu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia memutuskan bahawa Pluralisme merupakan fahaman yang sesat dan bertentangan dengan akidah Islam bahkan ia merupakan bentuk syirik kontemporari dengan menyama ratakan setiap agama dengan membenarkan setiap ketuhanan yang didakwa oleh agama selain Islam.

Justeru, dalam akidah Islam apabila penyaksian diberikan ketika memeluk Islam maka awal-awal lagi umat Islam mesti menafikan wujudnya tuhan selain Allah. Hal ini bermaksud kebenaran yang mutlak dan sebenar adalah datang daripada Allah berdasarkan agama Islam yang diturunkan dan disampaikan oleh utusan-Nya.

Firman Allah S.W.T:



إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ

“Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.”

(Ali Imran: 19)



Sehubungan itu, tiada istilah kebenaran selain daripada apa yang dibawa oleh Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah S.W.T:



وَمَن یَبۡتَغِ غَیۡرَ ٱلۡإِسۡلَـٰمِ دِینࣰا فَلَن یُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِینَ

“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka ia tidak akan sesekali diterima dan ia di akhirat kelak ia tergolong daripada kalangan orang yang rugi.”

(Ali Imran: 85)



Sekalipun hubungan antara umat Islam dan non-Muslim dibenarkan dalam konteks kemanusiaan namun dari konteks akidah adalah tetap jelas dan tiada kompromi sebagaimana yang dibincangkan di atas.

Hal ini dapat dilihat kepada sirah Nabi Muhammad S.A.W berkenaan hadis yang diriwayatkan mengenai seorang lelaki musyrik bernama Qazman yang mengikuti peperangan bersama-sama dengan Sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Dia berjaya membunuh 3 orang daripada pihak musuh daripada Bani al-Dar yang berperang membawa panji Musyrikin.

Sehubungan itu Nabi Muhammad S.A.W bersabda:



إنَّ اللهَ ليُؤيِّدُ هذا الدِّينَ بالرجلِ الفاجرِ

“Sesungguhnya Allah S.W.T akan membantu agama ini (Islam) dengan lelaki yang tidak beriman.”

(Riwayat al-Bukhari)



Walaupun begitu, Baginda S.A.W tetap menegaskan lelaki tersebut tempatnya di akhirat kelak adalah di neraka kerana akidahnya adalah bukan akidah Islam. Ini menguatkan lagi bahawa dalam konteks akidah, maka kebenaran yang mutlak adalah datang dari Islam sahaja.

Hukuman hudud merupakan batasan bagi mencegah mudarat

Dalam konteks disiplin ilmu Maqasid Syariah, objektif sesuatu pensyariatan ini adalah untuk mendatangkan maslahat dan menolak kemudaratan. Ia dapat direalisasikan dengan 2 bentuk:

1.     Mewujudkan dan mendatangkan
2.     Menghilangkan dan menjaga

Maka berdasarkan ini, hukuman hudud merupakan satu bentuk menghilangkan mudarat yang mendatang dan menjaga maslahat yang sedia ada.

Hal ini bertepatan dengan seruan Allah yang menyuruh ke atas umat Islam menyuruh ke arah perkara makruf dan menegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud:



وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

“Dan hendaklah ada daripada kalangan kamu akan satu ummah yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh ke arah perkara makruf dan menegah kemungkaran. Dan merekalah golongan yang berjaya.”

(Ali-Imran: 104)



Disebabkan itu, antara hikmah hukuman bunuh ke atas golongan murtad ialah:

1.     Menjaga maslahat ke atas umat Islam yang sedia ada iaitu menjaga akidah umat Islam yang lain agar tidak terpengaruh dengan jenayah murtad yang berlaku.

2.     Menolak mudarat yang mendatang dari golongan murtad iaitu melemahkan kesatuan umat Islam dengan peluang mengambil kesempatan masuk agama Islam dengan tujuan mengkucar-kacirkan kesatuan umat Islam dengan penukaran agama yang akan dilakukan.

Justeru, seruan dakwah merupakan mendatangkan maslahat dengan menambahkan bilangan umat Islam yang sedia ada. Dalam masa yang sama, hukuman hudud merupakan menolak mudarat yang mendatang dengan cara menjaga maslahat umat Islam yang sedia ada. Ini kesemua adalah merujuk kepada 5 perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Hukuman bunuh ke atas golongan murtad dan hikmahnya

Kebebasan beragama bukanlah bermaksud membuka pintu orang yang telah menganut agama Islam boleh menukar agama selainnya. Ini kerana telah sabit bahawa orang yang murtad dan jika diminta taubat namun enggan bertaubat, terdapat hukuman yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah.

Firman Allah S.W.T:



وَمَن یَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِینِهِۦ فَیَمُتۡ وَهُوَ كَافِرࣱ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فِی ٱلدُّنۡیَا وَٱلۡـَٔاخِرَةِۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ

“Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”

[Al-Baqarah: 217]



Hadith dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:



مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah ia”

(Riwayat al-Bukhari)



Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan 3 hikmah utama bagi hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas golongan murtad kerana jenayah murtad merupakan stau bentuk pencerobohan ke atas 3 perkara utama iaitu:

1.     Menjaga perpaduan masyarakat Islam
2.     Anutan akidah agama Islam
3.     Ketaatan kepada pemimpin Islam

Kesan pencerobohan ini akan menjadikan umat Islam berhadapan dengan serangan sama ada dalam bentuk zahir atau batin yang menggugat kesatuan, keselamatan dan kesucian agama Islam.

Dr Abdullah Naseh Ulwan menyatakan bahawa antara hikmah tersebut ialah:

1.     Supaya tidak memberikan kesan dan pengaruh kepada umat Islam yang lemah dari sudut material dan kepentingan dunia terutamanya untuk menganuti agama selain Islam disebabkan kepentingan peribadi berbentuk material.

2.     Supaya tidak memberikan kesempatan peluang ke atas golongan Munafikin untuk menganuti Islam kemudian keluar dari Islam sehingga berlaku fitnah dengan bermudah-mudah berlakunya kemurtadan.

3.     Supaya tidak membuka ruang kepada golongan kafir untuk menambahkan kekuatan dengan murtadnya umat Islam dengan mudah untuk menyertai pihak mereka dalam mencari peluang yang sesuai memerangi umat Islam.

Penutup

Jelaslah pemikiran yang dibawa oleh kumpulan G25 adalah sesuatu yang bertentangan dengan syariat dan ia mengelirukan masyarakat umum jika dibiarkan kumpulan ini terus bergerak dan melontarkan pandangan mereka menurut nafsu.

Sewajarnya apa sahaja kumpulan yang membawa pemikiran yang songsang dan menyeleweng ini disekat agar tidak merosakkan akidah ummah dan mendatang kerosakan besar pada generasi yang mendatang.

Serahkan urusan agama ini pada ahlinya iaitu kalangan alim ulamak dalam memberikan pandangan dan bicara agar masyarakat mendapat kefahaman yang jelas dan tepat. Ketahuilah, kerosakan yang besar adalah kerosakan akidah dan pemikiran!

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN
Pengerusi,
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis,
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/1/2020

- Advertisement -