Tak ambil suplemen penyebab penyakit?

- Advertisement -

SAYA mohon berlainan pandangan dari Datuk Dr Muhaya Muhammad, seorang selebriti yang terkenal di Malaysia. Salah satu dari poster maya yang memetik nama beliau mengenai keperluan mengambil suplemen ketika umur lingkungan 20-40 tahun [Lihat gambar]. Apabila suplemen tidak diambil, selepas umur 40, kita akan habiskan kekayaan kita untuk mencari kesihatan.

Dengan kata lain, sesiapa yang tidak mengamalkan memakan suplemen akan menghidapi banyak penyakit di usia tua. Saya yakin poster ini dikeluarkan oleh pihak tertentu yang menjual produk bagi melariskan jualan.

Apa pun jika benar kata-kata beliau, saya mohon bersalahan pendapat dari cikgu yang saya cukup hormati ini.

Pandangan beliau tidak disandarkan kepada mana-mana kajian. Ianya mungkin pendapat peribadi atas pengalaman beliau sebagai seorang Doktor Pakar Mata. Sedangkan banyak laporan kajian saintifik menyatakan manusia tidak memerlukan suplemen kecuali dalam kes-kes tertentu.

Bayi yang kurang zat makanan, ibu hamil yang kurang zat besi dan beberapa kes khusus perlu diberi suplemen, tetapi setelah dinilai oleh doktor atau pakar pemakanan [1].

- Advertisement -

Satu artikel yang ditulis oleh Suruhanjaya Eropah, Bahagian Makanan dan Suplemen membuat saranan seperti berikut dalam laporan mereka:
1.     Suplemen tidak diperlukan oleh semua orang kecuali beberapa kategori tertentu yang dinilai oleh ahlinya.
2.     Suplemen adalah makanan, tidak boleh didakwa sebagai ubat untuk merawat apa-apa penyakit. Terdapat beberapa contoh kajian telah dibuat oleh saintis, semuanya tiada sokongan kuat suplemen itu gantian ubat untuk merawat penyakit.
3.     Ikuti kehidupan sihat, makan makanan seimbang, membuat senaman adalah langkah terbaik tanpa memerlukan suplemen.
4.     Jika berkehendak juga makan suplemen, baca betul-betul label kerana setiap suplemen atau makanan yang diperkaya itu mempunyai kandungan yang berbeza. Sesetengah pesakit tidak boleh mengambil sesuatu suplemen melebihi had yang dibenarkan. Ianya boleh menbawa mudarat tambahan.
5.     Jika ragu, bertanyalah doktor atau pegawai pemakanan yang percayai. Jangan tanya doktor atau mereka yang menjual produk kesihatan (nota tambahan dari saya). Ini kerana mereka yang terlibat dalam jualan produk kesihatan akan bias dalam memberi nasihat.

Sebagai fakta tambahan, Universiti Perubatan Harvard pernah membuat catatan penting ini. Mereka mendapati kajian dari Journal of the American College of Cardiology, 4 jenis suplemen yang biasa didakwa mencegah penyakit — Multivitamin, Vitamin D, Kalsium, dan Vitamin C — Semuanya tidak mencegah penyakit kardiovaskular (Darah Tinggi, Sakit Jantung) [2].

Ya tidak semua suplemen itu buruk kesannya, pengkaji dari Universiti Perubatan Harvard juga mendapati Vitamin Folic Acid dan B-complex kemungkinan boleh mengurangkan risiko strok. Kajian Physicians’ Health Study II, 2012, juga menemui pengambilan tetap setiap hari Multivitamin selama 11 tahun, kurang risiko sebanyak 8 peratus menghidapi kanser dan 9 peratus menghidapi katarak berbanding dengan kumpulan yang mengambil plasebo.

Namun beberapa risiko lain perlu diperhalusi beberapa penemuan yang memeranjatkan ini:
1.     Dos tinggi Beta Carotene dikaitkan berisiko tinggi untuk kanser paru-paru di kalangan perokok.
2.     Berlebihan Vitamin D dan Kalsium kemungkinan risiko kepada batu karang dalam buah pinggang.
3.      Dos tinggi Vitamin E berisiko tinggi kena strok akibat perdarahan dalam otak.
4.     Vitamin K boleh mengganggu proses anti-pembekuan darah bagi kes individu yang perlu dicairkan darah mereka.
5.     Mengambil dos tinggi Vitamin B6 selama bertahun-tahun boleh dikaitkan dengan penyakit saraf.

Apapun yang terbaik bagi manusia normal adalah tidak menjadikan suplemen sebagai amalan harian [4]. Pemakanan kita sudah mencukupi dan melengkapi keperluan vitamin yang diperlukan. Tidak perlu berhabis duit dengan suplemen yang mahal itu. Kesihatan anda tetap terjamin dengan sumber yang dimakan setiap hari.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Pautan:

[1]     European Commision, Food and Supplement Section.
https://ec.europa.eu/food/safety/labelling_nutrition/supplements_en
https://www.acc.org/about-acc/press-releases/2018/05/29/10/15/most-vitamin-mineral-supplements-not-shown-to-lower-heart-disease-risk

[2]     Havard Medical School. https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/do-you-need-a-daily-supplement

[3]     Perlu kah suplemen? https://newsinhealth.nih.gov/2013/08/should-you-take-dietary-supplements

[4]     Bacaan lanjut. https://www.facebook.com/1033106371/posts/10216895443991703/?d=n  – HARAKAHDAILY 11/1/2020

- Advertisement -