Guna nama binatang untuk anak

Foto hiasan.
- Advertisement -

SEORANG pelakon handalan Indonesia guna nama binatang buas untuk anak sulungnya iaitu Harimau.

- Advertisement -

Ikut doanya, harapannya dengan memakai nama binatang itu, Harimau akan jadi seorang pemimpin seperti binatang itu yang dikira semua sebagai raja segala binatang. Kebanyakan bangsa timur dan barat, dulu dan sekarang, tidak mengira harimau raja segala binatang. Raja haiwan ialah sang singa manakala sang harimau adalah binatang terbengis dari segala haiwan.

Apapun bagi pelakon itu raja binatang bukan singa, tetapi harimau. Si bapa memberi tiga kalimah pada nama anaknya. Yang penting dan dikenali semua ialah Harimau.

Tidak dipasti agama si bapa kerana nama orang Indonesia semua dikenali sebagai orang Islam sekalipun mereka bukan Islam. Dia mungkin Islam tetapi ramai Jawa, Sunda dan lain-lain tidak mempamerkan nama Islamnya.

Ia bukan pelik. Presiden Sukarno memang Islam, Achmad Sukarno tetapi dia suka mengguna nama alam untuk anaknya seperti Guntur, sejenis petir, dan Guruh, manakala anak perempuannya dinamai Mega atau Megawati, satu nama lain bagi angin dan awan. Tetapi mereka Islam. Dia mungkin tidak berniat apa-apa menamakan puteri Mega, kerana dalam al-Quran dalah kalimah Zarwa iaitu sejenis awan.

Bila cucu perempuan saya diberi nama Zarwa, saya suka memanggilnya Mega seperti nama anak perempuan Sukarno, satu-satu anaknya yang pernah jadi Presiden Indonesia. Bagi orang Islam yang menamakan anaknya Kuda, Gajah, Guruh, Pelanduk dan lain-lain sesudah kedatangan Islam mungkin mereka tidak jahiliah tetapi dipengaruhi fikiran jahiliah.

Semasa keturunan mereka jahiliah dulu, atas pengaruh jahiliah dulu mereka guna nama-nama haiwan dan objek-objek tertentu bagi anak-anaknya.

Maka kita tidak pasti pengaruh apa bagi si bapa yang menamakan anaknya Harimau, tidak memilih sekian banyak nama baik bagi anak orang Islam.

Bagi orang Jawa yang menamakan anakya Taufan, Halilintar atau Seladang, tidak bererti ia dipengaruhi jahiliah tetapi sekadar menandakan rasa garang dan perkasa. Dalam Islam pun ada kalimah perkasa seperti Aziz tetapi ia mesti didahului dengan nama Abdul.

Tidak diketahui nama sebenar panglima dan pembesar Pahang yang menentang penjajah Inggeris dulu iaitu Tok Gajah. Dia diketahui seorang tinggi pengetahuan Islamnya tetapi semua dulu dan sekarang mengenalinya Tok Gajah. Bukanlah ia pelik.

Sahabat Abu Hurairah, nama sebelum Islamnya ialah hamba tuhan berhalanya. Bila Islam Rasulullah SAW menamainya Abdul Rahman, Hamba Tuhan Yang Maha Pemurah. Tetapi sayangnya kepada kucing, Nabi SAW menggelarnya Abu Hurairah dan beliau lebih dikenali dengan nama itu. Kerana namanya dikaitkan dengan kucing, justeru ia gelaran manja Rasulullah SAW, tidaklah ia membawa maksud memperkecilnya, bahkan semua hadis yang diriwayatkannya memakai nama Abu Hurairah, bukan Abdul Rahman, nama Islam yang Nabi SAW beri untuknya.

Ia tidak takjub jika nama haiwan yang dipilih seperti Kuda, Unta, Kibas dan lain-lain kerana ia bukan binatang buas bahkan haiwan yang begitu dekat dengan kehidupan manusia sepanjang zaman.

Agak gempar juga bila si bapa memilih Harimau sedang ia adalah binatang buas dan bukan mainan bagi manusia. Tetapi tidak pula boleh diborong terpengaruh dengan jahiliah kerana ada pembesar Islam bernama haiwan seperti Bashar Assad, Presiden Syria yang sekarang membenarkan rakyat diperangi.

Nama Assad untuk keluarganya ialah bererti singa. Singa dan harimau sama-sama haiwan buas. Bahkan Raja Mekah sebelum ini al-Malik Fahd nama bagi sejenis harimau. Mengambil sempena al-Malik Fahd di Mekah itu Almarhum Sultan Pahang menamakan putera baginda, adinda Yang di-Pertuan Agong, Abdul Fahd.

Tidak pelik anak pelakon Indonesia itu Harimau. – HARAKAHDAILY 11/1/2020

- Advertisement -