Untuk kekal kompetitif, KLIA perlu dibangun semula

- Advertisement -

DENGAN peletakan jawatan terbaharu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan sudah tiba masa untuk Kerajaan menilai kembali keseluruhan hal ehwal dan perkembangan industri penerbangan Malaysia.

Sebagai antara pembolehubah (enabler) pertumbuhan ekonomi yang penting kepada sesebuah negara, industri penerbangan adalah pemangkin yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi. Barkaitan dengan itu, kami perpandangan pengurus baharu MAHB nanti dan juga Kerajaan perlu mengkaji keperluan untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau membina lapangan terbang baharu.

Lapangan terbang adalah elemen penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara dan seterusnya mengekalkan daya saing negara tersebut. Oleh itu untuk Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau dan global, kemudahan lapangan terbang yang cekap dan kompetitif adalah amat diperlukan. Melihat kepada suasana semasa KLIA dan saingan pada peringkat serantau dan agar Malaysia kekal kompetitif, KLIA perlu dibangun semula atau dibina lapangan terbang baharu.

- Advertisement -

Sebagai perspektif KLIA, yang dibuka dalam tahun 1998, sekarang mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 75 juta penumpang setahun. Dalam tahun 2018 KLIA mengendalikan hampir 60 juta penumpang dengan kadar pertumbuhan lebih 2 peratus setahun. Penambahan yang dibuat kepada KLIA hanya pembangunan KLIA2 yang merupakan terminal khusus untuk penerbangan tambang murah. Namun bagi terminal utama yang menghubungkan Malaysia kepada dunia, tiada penambahan dan pembangunan baharu dibuat.

Sebagai perbandingan di peringkat serantau, Lapangan Terbang Changi Singapura, yang dibuka dalam tahun 1981, sekarang mengendalikan lebih 65 juta penumpang setahun dalam tahun 2018. Sepanjang tempoh kewujudannya Changi telah melalui 5 fasa pembangunan semula iaitu Terminal 2 dalam tahun 1990, Terminal 3 (2008), Terminal 4 (2017) dan terkini adalah pembukaan tarikan terbaharu iaitu Jewel Changi Airport. Changi juga telahpun menetapkan sasaran untuk Terminal 5 dalam pertengahan tahun 2030-an.

Sementara untuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok yang telah dibuka pada tahun 2006, kita mengendalikan lebih 63 juta penumpang setahun, telah pun memulakan projek pembesaran dalam tahun 2016 dan akan siap dalam tahun 2021. Seterusnya adalah sasaran untuk pembesaran selanjutnya untuk meningkatkan kapasiti sehingga 125 juta penumpang setahun.

Begitu juga dengan lapangan terbang serantau lain seperti Hang Kong. Lapangan Terbang Chek Lap Kok yang dibuka dalam tahun 1998 kita mengendalikan lebih 74 juta penumpang setahun, telah pun melakukan pembesaran yang siap dalam tahun 2015 dan fasa seterusnya akan siap dalam tahun 2020 ini.

KLIA nampak sudah ketinggalan dalam persaingan serantau. Justeru, sebagai pemboleh ubah penting dalam pertumbuhan ekonomi, maka untuk kekal bersaing di peringkat serantau dan dunia Malaysia perlu untuk melakukan sesuatu untuk mengekalkan daya saing KLIA bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

14 JamadilAwal 1441H
10 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 10/1/2020

- Advertisement -