Usrah: Nadi pengukuh pergerakan PAS

- Advertisement -

SEBAGAI sebuah gerakan Islam, PAS tidak hanya memberikan tumpuan kepada politik dan pilihan raya sahaja, tetapi turut memberi fokus kepada tarbiyah dan dakwah. Untuk membangunkan syakhsiah ahli-ahlinya, PAS telah mengatur program tarbiyah secara menyeluruh melibatkan peringkat pengenalan (taarif), pembinaan (takwin), pelaksana (tanfiz) dan juga kepemimpinan (qiyadi). Salah satu nadi utama dalam pentarbiyahan ini ialah usrah yang dijalankan secara berkala melibatkan semua peringkat ahli dan kepemimpinan. Pada asasnya usrah adalah penterjemahan model tarbiyah Rasulullah S.A.W yang dimulakan di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam yang mempunyai tatacara pelaksanaan dan matlamat yang tertentu.

Usrah dari segi bahasa mempunyai makna sebagai keluarga, tetapi dari segi istilah, ia bermaksud satu kumpulan individu Muslim yang beriman kepada Allah S.W.T, yang berusaha tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam. Usrah membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islam dan terjalin dengan satu ikatan persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiyah). Usrah juga adalah medan tarbiyah dalam usaha membentuk generasi yang sanggup hidup dan mati demi memperjuangkan Islam. Usrah juga dapat menyatu dan menyelaraskan fikrah ahli-ahli PAS.

- Advertisement -

Usrah mempunyai tiga rukun – taaruf (berkenalan), tafahum (bersefahaman) dan takaful (tolong-menolong). Dengan tiga rukun ini, PAS telah menetapkan cara yang khusus bagi pelaksanaan usrah mengikut model tarbiyah PAS seperti yang digariskan oleh Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat. Ahli-ahli PAS sebagai anggota usrah telah didedahkan dengan adab-adab usrah yang sangat terperinci, di mana setiap orang dikehendaki mengikhlaskan seluruh amal mereka kepada Allah. Setelah itu, baharulah adab-adab yang lain dapat diterapkan secara berkesan. Dalam pelaksanaan usrah, ada tiga faktor yang menentukan keberkesanan dan kejayaannya, iaitu naqib, ahli usrah dan pelaksanaan usrah. Kebolehan dan kemampuan naqib atau naqibah yang mempengaruhi keberkesanan usrah, sedangkan bagi ahli-ahli usrah, penerapan adab-adab dan pelaksanaan rukun-rukun usrah akan mempengaruhi keberkesanan ke atas mereka, di samping teknik pelaksanaan usrah yang dijalankan itu.

Secara umumnya, usrah yang dijalankan oleh PAS bermatlamat untuk membentuk generasi yang benar-benar memahami Islam, beramal dengan ajaran Islam dan bersedia untuk berjuang menegakkan agama Islam. Untuk mencapai tujuan umum itu, usrah diatur supaya dapat mendidik hati ahli-ahli PAS supaya taat kepada Allah, mempunyai hubungan langsung dengan al-Quran dan Sunnah, membentuk akhlak al-Quran kepada ahli-ahli supaya patuh kepada perintah dan larangan Allah, menjadikan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat sebagai ikutan, supaya berfikir dan bertindak selari dengan al-Quran dan sentiasa bermulazamah dengan al-Quran dan Sunnah. Dengan bekalan ini, ahli-ahli disasarkan supaya dapat mengatur saf perjuangan Islam dengan rapi dan teguh, bergerak dengan ikhlas kepada Allah, membentuk keperibadian Muslim dan keluarga Muslim ke arah pembinaan masyarakat Islam dan negara Islam.

Usrah juga mempunyai matlamat untuk merapatkan ukhuwah Islamiyah dan kasih sayang antara ahli-ahlinya, menghidupkan budaya nasihat-menasihati dan menanamkan kecintaan kepada agama Allah. Dalam pada itu juga, usrah dapat menjadi saluran komunikasi bagi ahli-ahli PAS dalam memberi pandangan kepada jamaah, dapat membina bakat dan kebolehan ahli-ahli dalam pelbagai bidang, selain dapat mengenali ahli-ahli dengan lebih dekat tentang sikap, pemikiran dan tindakan mereka. Dalam kata lain, usrah bukan hanya bertujuan untuk berkenalan dan tolong-menolong, tetapi untuk membina fikrah perjuangan Islam melalui kefahaman yang diterapkan.

Bagi memastikan pelaksanaan usrah ini berkesan, PAS telah menetapkan beberapa elemen penting dalam pelaksanaannya. Pertama, zikirullah yang bermula dengan solat berjemaah, wirid, zikir al-ma’thurat dan doa. Kedua, memahami wahyu meliputi al-Quran, Hadis dan Sirah. Ketiga, membina fikrah Islam berdasar teks atau manhaj usrah yang telah disusun. Keempat, muhasabah untuk menyemak amalan dan pembinaan syakhsiah ahli-ahli. Kelima, perbincangan am tentang isu-isu berkait ahli-ahli usrah sehingga dapat meningkatkan ukhuwah sesama mereka. Dan keenam ialah perbincangan isu-isu semasa, khususnya isu umat Islam di semua peringkat. Dengan enam kandungan utama ini, usrah menjadi nadi penggerak yang terpenting bagi PAS dalam menggembleng ahli-ahli kepada perjuangan Islam.


MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
13 Jamadil Awal 1441
9 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 9/1/2020

- Advertisement -