Sektarian mazhab dan perpecahan ummat

- Advertisement -

KEPALA Trump

(1)     Dunia hari ini dilanda dengan krisis yang cukup besar apabila Jeneral Qassim Sulaiman dibunuh. Iran turut memberi respons terhadap pembunuhan jeneral mereka ini.

Iaitu menawarkan 80 juta Dolar bagi sesiapa yang boleh membawa pulang kepala Trump. Secara tidak langsung, cara Iran ini membuka peluang kepada musuh-musuh Trump.

(2)     Sesiapa sahaja boleh bertindak untuk membunuh Trump kerana pastinya Iran yang akan dapat nama, seolah-olah Iran ‘sudi’ bertanggungjawab terhadap kematian Trump.

Seolah-olah kita sendiri boleh memikirkan apa kesan sekiranya berlakunya pembunuhan Presiden Amerika ini. Samada dilihat sebagai satu kewajaran, atau mencari pasal.

(2)     Secara petanya Iran dikelilingi oleh negara-negara yang berada di bawah pengaruh Amerika. Namun masih ada negara-negara yang cenderung kepada Iran seperti Rusia dan Syria.

(3)     Walaupun ada penganalisis yang mengatakan bahawa tidak ada kemungkinan berlakunya Perang Dunia Ketiga, namun apabila dilihat peralihan angin politik ini, seakan-akan ia boleh berlaku.

Jangan pandang kekuatan Iran sebelah mata. Mereka sudah mempunyai pangkalan di Yaman, hasil kebodohan Arab Saudi dalam konflik Houti.

Jeneral Qassim Sulaimani yang dibunuh merupakan individu penting di dalam memberi kemenangan kepada Iran dalam banyak peristiwa peperangan.

Pakatan Sunni-Israel 2006

(1)     Perlu ingat bahawa dalam sejarah, pada 2006 bermulanya agenda pakatan Sunni-Israel. Iaitu berpakat dengan mana-mana negara Sunni untuk mengekang Iran yang digambarkan sebagai Syiah.

Barat cuba memasarkan ketakutan dan fobia terhadap Syiah sehingga menyebabkan ada negara-negara Sunni yang sanggup berpakat dengan Barat bagi mengekang Iran.

(2)     Sebagai contoh, sepertimana yang saya nyatakan tadi mengenai pertembungan di Yaman. Hakikatnya dimulakan oleh Arab Saudi dan UAE yang merupakan sekutu Amerika.

Asal tujuannya adalah mengekang pengaruh Iran di situ. Namun di akhir konflik ini, memberi saham pengaruh kepada Iran lebih kuat dan menggugat Arab Saudi sendiri.

Sebab itulah dalam isu ini kita perlu membebaskan diri daripada kongkongan propaganda Amerika yang seringkali membakar sektarian mazhab.

(3)     Kalau hari ini ada yang mengatakan kekejaman Syiah, jangan lupa orang-orang Sunni juga pernah membunuh orang-orang Syiah. Bukan untuk menimbulkan sektarian mazhab, tetapi sebagai muhasabah.

Kalau kita katakan pada hari ini orang-orang Syiah sangat kejam, maka apakah dalil yang digunapakai oleh orang-orang Sunni untuk membunuh Syiah sebelum ini?

Perlu tahu, ada Sunni yang baik, ada Sunni yang jahat. Begitu juga ada Syiah yang baik dan ada Syiah yang jahat. Mudah ceritanya, isunya bukan mazhab, tetapi dari sudut baik ataupun jahat.

Arab perlu sedar

(1)     Masyarakat Arab perlu sedar bahawa mereka sedang dicatur oleh Barat untuk di huru-hara kan. Kalau dahulu antara faktornya adalah minyak, tetapi hari ini lebih kepada perluasan Empayar Israel.

Lakaran-lakaran peta yang dilukiskan oleh beberapa pemikir Barat seperti Ralph Peters 2006 dan Robin Wright pada 2013 perlu diteliti.

(2)     2006 di era pasca 11 September 2001 iaitu era Islamofobia. Manakala 2013 pasca Arab Spring yang menggambarkan huru-hara negara-negara Arab.

Namun masyarakat Arab masih lagi tidak serik dengan permainan Barat. Sering kali tertipu walaupun sudah berkali-kali, dan masih lagi mahu bercakaran antara satu sama lain.

(3)     Seolah-olah menjadi gambaran yang sangat wajar kenapa Nabi Muhammad S.A.W diutuskan dari kalangan orang Arab yang memiliki sejarah percakaran yang panjang.

a-     Hari ini masyarakat Arab bukan sekadar bercakaran sesama sendiri atas sentimen mazhab, akan tetapi Sunni di kalangan mereka boleh pula berpakat dengan Israel.

b-     Ada juga negara-negara Arab yang sudah ternormal dengan Israel, sehingga menyebabkan Israel Raya rancangan mereka semakin diterima oleh Arab sendiri.

Tak pasti pula dalil mana yang mereka sandarkan sekiranya mereka itu benar-benar Sunni. Sebaliknya tanpa mengira mazhab Sunni ataupun Syiah masing-masing perlu kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Sektarian Khalafi vs Salafi

(1)      Pada 2016 diadakan persidangan OIC dan keputusannya hampir keseluruhan negara-negara Sunni bersetuju untuk memerangi Syiah.

Pada tahun yang sama juga diadakan muktamar International Ahlus-Sunnah di Chechnya memutuskan bahawa Salafi Wahabi terkeluar daripada Ahlus-Sunnah.

Pada era itu juga sedang gempar gerakan ISIS yang turut disandarkan kepada Salafi Jihadi atau Wahhabi. seolah-olah seperti bakaran sektarian mazhab itu disuburkan.

(2)     Barat telah menyandarkan ISIS ataupun teroris kepada idealogi yang dibawa oleh Syed Qutb sepertimana yang telah dicatatkan oleh RAND Corporation.

Antaranya di dalam kajian RAND Corporation yang bertajuk Unfolding the Future of the Long War yang disediakan oleh 5 orang panel setebal 230 halaman pada 2008.

Sarat di dalamnya menyebut nama Syed Qutb dan Imam Hassan Al Banna untuk di’kambing hitam’kan bagi menggambarkan punca kepada Salafi Jihadi yang menjadi membawa keganasan.

(3)     Secara mudahnya di peringkat realiti tokoh-tokoh mereka yang bertopengkan agamawan menjaja hadis-hadis Mazhab Syafi’i di negara India Pakistan yang didominasi dengan Mazhab Hanafi

Manakala negara-negara di Asia tenggara seperti Indonesia dan Malaysia yang mengamalkan Mazhab Syafie, cuba dijaja dengan Hadis-hadis Mazhab Hanafi.

Perselisihan idealogi

(1)     Selain daripada perselisihan mazhab, umat Islam juga dipecahkan mengikut idealogi dan fahaman. Ada yang terikut dengan Sekularisme dan ada yang terikut dengan modernism (moderate).

a-     Golongan yang terikut dengan Sekularisme ada yang menganggap bahawa agama Islam itu tidak sepatutnya dicampurkan dengan politik kerana politik itu kotor manakala agama itu bersih.

Walaupun statement ini kelihatan bagus, akan tetapi ia bercanggah dengan konsep Islam sebagai sebuah sistem hidup. Maka janganlah pula terpengaruh dengan Sekular.

b-     Umat Islam ada juga yang terikut dengan Moderate kerana menganggap bahawa agama yang selama ini dibawa oleh orang-orang Islam dilihat dibawa secara jumud dan ketinggalan.

Maka sepatutnya yang perlu diperbetulkan adalah ‘orang’ bukannya Islam itu. Islam kekal sama sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W sehinggalah sekarang.

Manakala penganutnya bertukar-tukar berselisih zaman. Maka Islam itu sepatutnya  diukur pada Islamnya bukan pada penganutnya.

(4)     Jika kita lihat dalam kajian RAND Corporation kita akan mendapati bahawa umat Islam itu turut dipertembungkan oleh Barat dengan perselisihan idealogi ini.

Apabila umat Islam mencedok idealogi luar maka mereka akan berselisih. Justeru penyelesaiannya ialah perlu kembali ketulenan fikrah Islamiah yang menyatukan.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 9/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -