Dedah audio: Siasat kesahihan, tegakkan ‘Rule of Law’

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat isu pendedahan audio oleh SPRM semalam berkenaan apa yang didakwa sebagai konspirasi jenayah peringkat tertinggi, melibatkan orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai serta bekas pegawai tinggi kerajaan di dalam dan luar negara.

- Advertisement -

Pemuda PAS menzahirkan rasa terkejut dengan pendedahan ini. Sekiranya apa yang didedahkan itu benar, ia adalah suatu petaka buat rakyat Malaysia. Sekiranya ia benar, bermakna ada cubaan dari orang-orang tertentu untuk menyembunyikan jenayah dengan pengaruh dan kuasa mereka. Oleh itu, kami mendesak supaya siasatan dilakukan segera bagi mendapatkan kesahihan berkenaan audio tersebut. Jika didapati wujud konspirasi jenayah peringkat tertinggi seperti yang didakwa, Pemuda PAS menggesa supaya semua yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan dan diadili dengan sewajarnya.

Walau bagaimanapun, kami menegaskan dalam isu ini, semua pihak harus kembali kepada asas undang-undang dan bertindak mengikut kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law‘. Sekalipun ia melibatkan tokoh-tokoh kenamaan dan merupakan kepentingan awam, semua pihak haruslah mematuhi ‘rule of law’ yang telah ditetapkan. Kami merasakan bahawa tindakan SPRM mendedahkan audio tersebut kepada umum adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan ‘rule of law‘ dan prinsip ‘innocent until proven guilty‘. Pendedahan audio tersebut boleh membawa prejudis kepada orang yang dituduh, dan menggalakkan budaya perbicaraan melalui media, bukan melalui Mahkamah oleh orang awam yang tidak memahami prosedur keadilan.

Pemuda PAS turut berasa sangsi dengan tindakan SPRM mendedahkan video tersebut semasa tempoh berkempen PRK Kimanis sedang berjalan. Adakah pendedahan ini bermotifkan politik? Adakah ia sengaja didedahkan untuk menjatuhkan pembangkang? Dan mengapa ia tidak dibawa ke PDRM untuk disiasat tanpa perlu didedahkan kepada umum isi kandungannya? Kami khuatir SPRM dijadikan senjata politik pihak tertentu bagi mengekalkan kuasa dan membunuh karier musuh politik, bukan membanteras rasuah dan mengembalikan integriti sepertimana hasrat SPRM ditubuhkan.

Pemuda PAS menyeru semua pihak agar kembali kepada ‘rule of law‘ dan bertindak mengikut batas perundangan. Siasat segera kesahihan audio tersebut dan adakah benar berlakunya jenayah konspirasi peringkat tertinggi seperti yang didakwa. Pada masa yang sama, kami mendesak SPRM supaya bertindak lebih profesional, dan tidak menjadi ‘alat politik’ pihak tertentu dalam menjalankan tugas dan amanah rakyat.

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 9/1/2020

- Advertisement -