Pasar baharu RM5 juta di Selising

    - Advertisement -

    PASIR PUTEH: Selepas lima tahun pasar lama terbakar, kini penduduk di pekan Selising memiliki pasar baharu yang turut dilengkapi surau dan ruangan memunggah barangan.

    - Advertisement -

    Selain itu ruang parkir lebih luas dan kemudahan untuk OKU.

    Pasar Siti Sarah itu dibina berhampiran Kampung Padang Pak Omar membabitkan kos sebanyak RM5 juta di bawah peruntukan kerajaan persekutuan.

    Pasar terbabit terletak kira-kira 700 meter dari tapak asal berhampiran Cabang Tiga Selising.

    Tapak pasar pasar baharu merupakan bekas sawah padi yang ditambun semula seluas lebih satu hektar. Ia terletak berhampiran laluan utama Kota Bharu-Pasir Puteh.

    Pembinaannya dikendali syarikat MMY Resources.

    Isnin lepas sempena pembukaan Pasar Siti Sarah diadakan solat hajat diimamkan Adun Selising, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

    Solat hajat itu diadakan di surau pasar turut dihadiri peniaga, kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Selising, wakil Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan penduduk tempatan.

    Tuan Mohd Saripudin berkata, perniagaan di pasar itu bermula dengan solat hajat bagi mendapat keberkatan daripada Allah Taala.

    Sehingga sekarang seramai 37 peniaga daripada pasar lama menjalankan perniagaan di pasar terbabit.

    Terdapat sebanyak 59 petak disediakan di pasar berkenaan.

    Pasar baharu tersebut merupakan yang kedua di Pasir Puteh di bawah kendalian MDPP.

    Dua tahun lepas peniaga di Pasar Lama Pasir Puteh berpindah ke pasar baharu di Pasir Puteh Sentral. – HARAKAHDAILY 8/1/2020

    - Advertisement -