PAS terus suarakan gesaan kaji semula PSR

    - Advertisement -

    BALIK PULAU: Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) jelas bakal mengganggu gugat ekosistem laut termasuk pendapatan para nelayan pantai melibatkan bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga Perak dan Kedah.

    Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, tambakan untuk membina tiga pulau buatan itu mesti dikaji semula dan tidak harus terlepas daripada peraturan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa.

    - Advertisement -



    Beliau turun ke laut meninjau sendiri sekitar lokasi akan dilaksanakan projek yang digelar penduduk sebagai ‘pulau puaka’ tersebut kerana bakal memusnahkan persekitarannya di Gertak Sanggul, di sini kelmarin.

    Turut serta bersama beliau menaiki bot di perairan tersebut adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah serta Ketua Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar.

    Menurut Ustaz Fauzi pula, PAS Pulau Pinang telah mendedahkan melalui ADUN Penaga semasa Sidang DUN Pulau Pinang bahawa 86.6 peratus rumah di Pulau Pinang yang berharga RM300,000 masih tidak terjual.

    Oleh itu katanya, hal tersebut menimbulkan persoalan dan pertikaian terhadap kemampuan untuk rakyat negeri ini membeli rumah kediaman yang bakal dibangunkan di pulau itu nanti di mana tentu harganya lebih mahal. – HARAKAHDAILY 8/1/2020

    - Advertisement -