Kes Influenza: Pertingkatkan tahap kesihatan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyarankan pihak kerajaan dan rakyat umumnya untuk mengambil langkah pantas untuk atasi masalah perbekalan ubat yang berkurangan di kala kes Influenza semakin meningkat berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pakar perunding di Hospital KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin pada 6 Januari baru-baru ini.

Walaupun laporan yang didedahkan tersebut bukanlah untuk menimbulkan panik namun dalam Islam aspek kesihatan amat dititik beratkan bersesuaian dengan konteks Maqasid al-Syariah. Malah dalam 10 muwasafat peribadi Muslim turut menyenaraikan aspek kesihatan iaitu قوي الجسم iaitu kuat dan sihat tubuh badan yang merujuk kepada kecergasan dan kesihatan yang baik sangat penting bagi peribadi Muslim yang terbaik.

Berdasarkan kajian kesihatan dan bagi memenuhi aspek Maqasid al-Syariah, DPPNS juga menyokong usaha bagi pencegahan Influenza ini menerusi galakan vaksinasi. Malah dalam perbahasan hukum menerusi vaksinasi ini telah dibahaskan secara panjang lebar oleh para ulamak dan ahli pakar dalam bidang perubatan ini yang jelas menunjukkan usaha dalam menghilang kemudaratan ekoran jangkitan atau ketiadaan penghalang atau imunisasi dalam perlindungan tambahan dalam sistem badan. Ia menepati langkah usaha sebagai langkah pencegahan menerusi kaedah fiqh yang berbunyi:

- Advertisement -



الضرر يزال

“Kemudaratan mesti dilenyapkan (dihilangkan)”



Kesedaran penjagaan kesihatan mesti dipupuk di setiap peringkat dan keluarga untuk memastikan wujudnya sebuah komuniti dan negara yang sihat dan bebas dari gejala penyakit yang kronik. Tanpa penjagaan kesihatan, penyakit yang menyerang boleh memberikan kesan kepada produktiviti sesebuah negara. Kempen yang berterusan mengenai kesihatan perlu diperkasakan lagi oleh pihak yang terbabit dan juga kerajaan agar dapat dibendung awal dari sebarang punca penyakit yang boleh berlaku.

Selain itu, entiti pendidikan di bawah Dewan Pemuda seperti PASTI dan SRITI juga wajar melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap para murid agar premis bebas dari simptom yang berkaitan Influenza supaya tidak berlaku jangkitan yang lebih meluas dan teruk. Para ibu bapa juga disarankan membawa anak anak yang terjadi simptom awal seperti batuk dan demam ke klinik dengan segera bagi mendapatkan pemeriksaan serta nasihat doktor.

DPPNS menggesa pihak kerajaan khususnya Kerajaan Negeri agar mengambil langkah yang pantas dalam isu yang didedahkan ini bagi memastikan perbekalan ubat yang mencukupi pada setiap masa.

Pihak Kerajaan Negeri juga boleh mempertimbangkan bagi memperuntukkan sebahagian dana untuk membantu rakyat dalam usaha vaksinasi Influenza yang bukan sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan, meliputi vaksinasi percuma terhadap 12 penyakit lain, yang diberikan di klinik kerajaan. Ia juga sebagai tanda keprihatinan peringkat kerajaan terhadap rakyat di bawah jagaan kebajikan dan kesihatan.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 8/1/2020

- Advertisement -