Arab dan sektarian mazhab

- Advertisement -

LATAR belakang

(1)     Di zaman kegelapan, agama ketika itu tidak menjadi penyelesaian masalah bahkan menimbulkan masalah menyebabkan agama saban hari ditolak oleh golongan pemikir ketika itu.

Agama yang dimaksudkan di zaman kegelapan Eropah itu adalah agama Kristian diseleweng pada 322 M. Akhirnya agama Kristian telah berubah menjadi agama yang penuh dengan Dogmatism.

(2)     Secara simple-nya Dogmatism bermaksud taklid. Ia menjadi asas yang kuat bagi Kristian menyebabkan agama ini tersimpang daripada ajaran Nabi Isa A.S.

Disebabkan terlalu lama berada di dalam ketebalan Dogmatism, akhirnya masyarakat Barat bangkit apatah lagi tamadun-tamadun yang diimport daripada Baghdad.

(3)     Apabila tamadun itu diimport masuk ke Barat, ia menyebabkan Barat menuju ke era yang semakin maju iaitu Revolusi Industri pada kurun ke-18.

Manakala pemerintahan Islam ketika itu di bawah Khilafah Uthmaniah mula kagum dengan kemodenan Barat lantas mengimport idealogi-idealogi daripada Barat atas alasan modenisasi.

(4)     Akhirnya dengan idealogi yang dijemput masuk ke dalam Uthmaniah ini menyebabkan kejatuhannya pada 1924. Manakala Barat terus mengorak langkah mengemudi kemodenan mereka.

Sehinggalah Barat menguasai sebahagian besar dunia dari pelbagai sudut antaranya sudut persenjataan dan perancangan strategi ketenteraan.

Sebelum dan selepas World War 2 (WW2)

(1)      Sejak Perang Dunia 2, Amerika berjaya menguasai pengaruh dunia sebagai sebuah kuasa besar. Namun diancam oleh Soviet yang membawa idealogi Sosialis Komunis dan sistem pemerintahan autokratik.

Sejak 1945 lagi Amerika telah menyusun pelbagai strategi untuk menguasai pengaruh dunia dan dilihat berjaya dalam banyak agenda  yang telah saya ceritakan dalam banyak artikel sebelum ini.

Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya Amerika menyerang Soviet dari segenap. Dari sudut perfileman, sosio-politik, sukan dan banyak lagi.

(2)     Walaupun hari ini Amerika dilihat mengalami kepancitan, namun kerakusannya masih panjang untuk menghirup minyak minyak di negara-negara Arab.

Negara Arab mempunyai hasil minyak yang cukup banyak, sepatutnya berpotensi menjadi negara yang kaya raya. Akan tetapi hasil tipu helah Amerika, akhirnya kekayaan-kekayaan Arab dikaut oleh Amerika.

(3)     Loji-loji minyak di negara-negara Arab banyak dikuasai oleh Amerika. Arab Saudi yang dikenali sebagai pengeluar minyak juga menjadi kepentingan Barat sejak penubuhan Aramco awal 19.

Di era awal 19 lagi, umat-umat Islam sudah dihidangkan dengan idealogi-idealogi mengarut. Tetapi digambarkan oleh Barat sebagai satu kemodenan.

Kesan jangka masa panjang serangan idealogi ini menyebabkan umat Islam masih lagi hanyut dan tenggelam dalam jerat jerat yang dipasang oleh Barat.

Iran VS Iraq

(1)     Revolusi Iran tercetus pada 1979 yang dikepalai oleh Khomeini. Fenomena ini secara tiba-tiba mengangkat Iran menjadi satu kuasa yang berpotensi bersaing dengan Amerika.

Lalu Amerika telah memperalatkan Iraq untuk memerangi Iran sehingga menyebabkan ratusan ribu kematian. Perang Iran-Iraq berlaku antara 1980 hingga 1988.

(2)     Kita sedar Amerika menjadi dalang di belakang tabir pertempuran antara Iran dan Iraq. Iraq dipimpin oleh Saddam Hussein yang dipergunakan oleh Amerika ketika itu.

Antara yang digambarkan oleh media, Saddam Hussein bimbang beliau akan dijatuhkan oleh kumpulan Syiah di Iraq, susulan Revolusi Iran.

(3)     Lalu beliau bertindak memerangi Iran yang baru muncul sebagai kuasa yang kuat, serta membunuh Syiah-syiah yang berada di dalam Iraq itu sendiri.

Amerika di belakang tabir, bertepuk tangan dengan kejayaan permainan ini. Disebabkan permainan sektarian mazhab ini, akhirnya menyebabkan kematian ratusan ribu umat Islam.

Walau bagaimanapun, setelah sekian lama Saddam Hussein memerangi Iran, akhirnya beliau telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri hasil permainan dan propaganda Amerika juga.

Tetapi yang digambarkan oleh media adalah Saddam Hussein seorang Sunni, dibunuh oleh orang-orang Syiah yang ditindas oleh Saddam sebelum ini.

Peristiwa ini perlu dipelajari dan ditekuni oleh umat Islam pada hari ini agar tidak terjerat dengan permainan musuh yang membakar sentimen sektarian mazhab.

Long War

(1)     Media-media Barat dengan bangganya melaporkan pergolakan di negara-negara Arab sejak sekian lama sebagai Civil War atau perang saudara.

Di Sudan Algeria Yaman dan lain-lain negara-negara yang memiliki kekayaan minyak ini digambarkan berkonflik pertembungan sesama sendiri (Civil War).

Walaupun hakikatnya ia adalah propaganda dan permainan Barat namun umat Islam sejak sekian lama seringkali tertipu dengan strategi dan permainan sentimen.

(3)     RAND Corporation adalah sebuah badan yang dibayar oleh Amerika untuk menjadi sebuah pasukan penyelidik dan perancang. Isu-isu sektarian antara sasaran perbincangan mereka.

Antaranya di dalam kajian RAND Corporation yang bertajuk Unfolding the Future of the Long War yang disediakan oleh 5 orang panel setebal 230 halaman pada 2008.

a-     Dalam kajian ini sarat dengan strategi Amerika untuk mempertembungkan sesama Umat Islam atas tiket sektarian mazhab. Pelbagai istilah-istilah mazhab dimanfaatkan oleh mereka.

Ia adalah bagi memastikan umat Islam itu berperang selama-lamanya. Kajian ini menerangkan konsep perang yang panjang dan mengenal pasti potensi-peluang terhadap plan perancangan Amerika.

b-     Mereka meletakkan 3 faktor utama yang menyumbang kepada Long War iaitu, Kerajaan, Idealogi dan Keganasan. Maka, ketiga-tiga ini perlu dikacaukan untuk mewujudkan Long War.

Arab dan Asia Barat

(1)      Pada November 2018 CTC ada menyiarkan satu tulisan yang bertajuk ‘Selling the Long War: Islamic State Propaganda after the Caliphate’ tulisan Michael Munoz.

Tulisan ini secara terus terangnya dilihat membina naratif-naratif keganasan di kawasan Asia Barat selaras dengan projek New Middle East.

(2)     ‘Mentala’ keganasan itu kepada ISIS yang sememangnya ditaja oleh mereka sendiri. Tetapi teknik ‘talaan’ ini berobjektifkan kepada Islamophobia. Islam jadi mangsa.

Beberapa istilah dalam Islam dipersembahkan sebagai bentuk ketahyulan dan Dogmatism. Antaranya syurga, taqwa, bidadari, Tuhan bersama dalam perang dan sebagainya.

Seolah-olah mempotretkan ketahyulan Islam. Ini antara suara yang dibawa oleh ISIS sendiri dan seruan seruan sektarian. kita boleh lihat sendiri apa yang terjadi di negara-negara Arab.

(3)     Negara Arab musnah terbakar dengan sentimen mazhab. Akan tetapi pendakwah-pendakwahnya ‘masih ada masa’ untuk datang ke Malaysia sampaikan dakwah

Baguslah dakwah itu, tetapi bukankah negara sendiri lebih wajar untuk didakwahkan? Masyarakat Arab bercakaran sesama sendiri. Tetapi di Malaysia suruh bersatu.

Bukankah orang orang Arab itu lebih utama untuk disatukan? Kalau berniat nak bina tapak, janganlah pula pasarkan sektarian mazhab Arab ke dalam Malaysia. – MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL  – HARAKAHDAILY 8/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -