Strategi Amerika: ‘Pivot’ terhadap negara umat Islam

- Advertisement -

RAMAI bersangka bahawa kuasa Rusia dan China merupakan gandingan kuasa bagi menyaingi Amerika Syarikat. Tetapi sedarkah kita, kuasa Rusia dan China merupakan kuasa ciptaan Amerika dan NATO bagi berlawan umat Islam?

Amerika Syarikat terkenal dengan Strategi Pivot iaitu mengepung negara-negara yang tidak disukai sebelum bertempur, dan membantu pertembungan dari dalam. Strategi ini pernah digunakan oleh Amerika Syarikat ketika Perang Dingin dan masih digunakan walaupun selepas kuasa Kesatuan Soviet berakhir pada 1990.

Kemudian, Rusia terus dibantu bagi menumpaskan saki baki Kesatuan Soviet dan tidak dapat dibangunkan sehingga kini. Rusia yang dianggap kuasa besar dunia yang bangkit semula, pada hakikatnya telah dibantu oleh Amerika Syarikat.

Begitu juga kebangkitan kuasa baru Republik China merupakan kuasa yang telah dibiarkannya bangkit. Malah, Amerika Syarikat terlibat dalam pelaburan China dengan pelbagai insentif dan pembukaan syarikat-syarikat besar Amerika yang dibuka di China.

Begitu juga Eropah telah dibantu oleh Amerika Syarikat melalui Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi mempercepatkan pembangunan ketenteraannya. Hakikatnya, NATO bertujuan memulih kembali negara-negara Eropah terutamanya negara-negara bekas kuasa besar bagi memulihkan persiapan ketenteraan.

Kesemua kuasa-kuasa negara dunia ini dibentuk agar dapat berhadapan negara-negara Islam dan apabila jikalau perang dunia ketiga berlaku, negara-negara Islam paling teruk dibelasah dan diranapkan.

Kebaikan Amerika dalam perdagangan minyak petrol di negara Arab hanya sebagai alat Amerika untuk mengawal negara-negara Islam. Perdagangan petroleum menjadikan negara-negara Islam bagaikan lembu-lembu dicucuk hidung.

Oleh demikian, Amerika Syarikat sama sekali tidak gerun dengan Iran. Malah, serangan terhadap Major Jeneral Qassem Sulaimani dilakukan pantas dan tanpa selindung, segera sahaja Amerika Syarikat mengakui membunuh Jeneral tersebut.

Bahkan, pembunuhan tersebut tidak langsung mendapat reaksi baik dari Rusia, mahupun China yang dianggap rakan dalam kesatuan BRICS. Semuanya mendiamkan diri dan semuanya tidak berani menempelak Amerika Syarikat yang semakin angkuh, tanpa belas kasihan.

Walaupun Henry Kissinger mendakwa kuasa Rusia dan China adalah ciptaan Amerika untuk melumpuhkan negara-negara umat Islam, ini tidak bermakna strategi Amerika akan berjaya sebagaimana dirancang. Amerika mengharap Rusia dan China menjadi senjata menikam umat Islam, tetapi mungkin sahaja Strategi Pivot ini merupakan senjata makan tuan.

DR. MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN – HARAKAHDAILY 7/1/2020

- Advertisement -


PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.


- Advertisement -