Malaysia tergugat! Warga asing ‘mudah’ masuk

- Advertisement -

PARIT: Pengecualian visa kepada pelancong dari China dan India ketika wujudnya isu berat mengenai warga asing dalam negara ini hanyalah menambahkan lagi kekeruhan dan petunjuk betapa Kerajaan Pusat mengambil enteng kedudukan kedaulatan.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, PAS mempertegaskan isu keselamatan negara kerana ianya adalah tuntutan agama di mana keamanan negara mesti dipertahankan dan dipelihara sebaik yang mungkin.

Beliau selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Parit mengulas isu tersebut dalam program Sembang Santai yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Najihatussolehah Ahmad anjuran PAS Cawangan Kampung Paloh, di sini kelmarin.

“Perjuangan PAS bukan hanya melibatkan soal politik kekuasaan, tetapi juga keselamatan negara, soal ekonomi, mahupun kebajikan rakyat. Lebih penting dari itu, isu keselamatan negara ini diperjuangkan PAS kerana ia tuntutan agama,” jelasnya.

Menurutnya, isu ini perlu terus diketengahkan dan tekanan mesti diberikan kepada kerajaan supaya keselamatan dan kedaulatan negara ini dapat dijaga dan dipelihara dari segala unsur gugatan dan ancaman yang boleh masuk secara terbuka mahupun menyusup.

Ustaz Ismi yang juga Setiausaha Khas Presiden PAS mengingatkan kerajaan supaya serius terhadap isu kedaulatan dan keselamatan negara atas pelbagai kebimbangan dan masalah sedia wujud kerana ia bukan semata-mata hal politik dan pentadbiran.

Jabatan Audit Negara sebelum ini pernah mendedahkan bahawa terdapat lebih 95 peratus pelancong dari negara China dan India tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia hingga menimbulkan pelbagai reaksi kejutan.

Malah, pengakuan yang dibuat sendiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada pemberita menunjukan tahap keselamatan negara pada ketika ini membimbangkan, apatah lagi dengan pelbagai pendedahan berkaitan termasuk jenayah oleh warga asing.

Media sebelum ini pernah melaporkan mengenai isu data Imigresen yang hilang, lambakan warga asing di Ibu Negara dan bandar-bandar utama Malaysia, bekerja tanpa permit sah, kad pengenalan ‘pasaran gelap’ dan perkahwinan dengan warga tempatan.

Juga lebih berat daripada itu apabila warga asing juga dilaporkan telah menimbulkan ketidakharmonian hidup warga tempatan atas pelbagai kegiatan jenayah dilakukan termasuk terbaru tangkapan beramai-ramai warganegara China yang bekerja sebagai ‘scammer’.

Sebelum ini juga keselamatan negara seolah-olah dibolosi dengan mudah apabila sistem kemasukan pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengalami masalah. – HARAKAHDAILY 7/1/2020

- Advertisement -